Cat Farish Gegarkan Industri Dengan Alter Ego ‘Si Penghulu’ Dalam Lagu Terbarunya

Penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop tanah air, Cat Farish, kembali dengan kelainan apabila memperkenalkan wajah baharunya melalui alter ego yang dinamakan Si Penghulu. Di bawah persona ini, beliau hadir dengan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta identiti bahasa dan budaya rakyat Perak. Lagu ini ditulis oleh Cat Farish bersama Illegal, dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, dan diterbitkan bersama serta diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd. Hak cipta lagu serta lirik juga berada di bawah syarikat tersebut.

Menurut Cat Farish, Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar lagu hiburan biasa, sebaliknya ia menjadi penghormatan buat wanita bergelar janda yang bangkit dengan penuh keyakinan dan semangat untuk memperbaiki diri. Dalam nada bersahaja dan berjenaka, Si Penghulu menyampaikan kisah tentang janda yang kembali menjadi rebutan bukan kerana rupa semata-mata, tetapi kerana keazaman dan keanggunan selepas perpisahan. “Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” jelas Cat Farish.

Watak Si Penghulu mula tercetus ketika sesi kolaborasi lagu Ok ciptaan Malique. Sejak itu, ia dikembangkan sebagai medium untuk Cat Farish berkarya dalam genre hip hop dengan sentuhan bahasa dan budaya tempatan. Dengan gaya penyampaian berloghat Perak, Si Penghulu tampil sebagai suara masyarakat dalam bentuk segar, moden, dan bersahaja. Menariknya, perjalanan projek ini turut mendapat sokongan daripada isteri beliau, Shikin Maembong, yang menjadi inspirasi sepanjang proses kreatif dan pembikinan lagu.

Walaupun rakaman lagu ini hanya diselesaikan baru-baru ini, konsep dan ideanya telah mengambil masa lebih dua tahun untuk dimuktamadkan. “Lagu dah ada lama, tapi lirik dan penyampaian tu yang ambil masa nak ‘kena’,” tambah Cat Farish. Dengan pelancaran ini, Si Penghulu kini muncul sebagai figura hip hop rakyat dari Kampung Sri Kinta di bawah naungan Luncai Emas, sekaligus membuka lembaran baharu dalam memperkenalkan genre urban folk hip hop kepada pendengar tempatan.

Single Jandanyer Yeah Yeah akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital dan saluran YouTube rasmi Luncai Emas. Pihak produksi berharap karya baharu ini diterima dengan baik oleh pendengar, serta mendapat perhatian daripada media dan penggiat muzik tanah air.