Apakah yang akan terjadi apabila seorang mover berjiwa besar nekad untuk menjadi tauke kopi, tetapi tiada modal? Saksikan Bru, sebuah drama komedi segar yang mengisahkan perjuangan dan persahabatan dalam dunia perniagaan kopi jalanan. Drama bersiri 10 episod terbitan Lumatic Films ini diarahkan oleh pengarah tersohor Nik Amir Mustapha, bakal menemui penonton di Tonton bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis.
Drama Bru menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang mover berjiwa besar yang mempunyai impian besar dalam dunia kopi. Shah, yang berasal dari keluarga sederhana, nekad untuk membuka perniagaan kopi walaupun tanpa modal. Satu-satunya aset yang dimilikinya adalah sebuah van lama yang diwarisi dari bapanya dan semangat yang membara. Bersama dengan Ajan, sahabat setianya, dan Hani, seorang barista berbakat yang juga anak kepada seorang Tan Sri, Shah mengubah van tersebut menjadi sebuah kafe bergerak untuk memulakan perniagaan kopi.
Namun, perjalanan perniagaan mereka tidak semudah yang disangka. Shah dan rakan-rakannya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dari persaingan sengit dengan peniaga lain, kerenah pelanggan kelas atasan, hingga masalah penyelenggaraan peralatan. Sifat panas baran Shah turut menambah kerumitan, menguji persahabatan dan hubungan dengan orang sekelilingnya. Dalam mengejar impian, Shah akhirnya terpaksa berhadapan dengan realiti yang menyakitkan: adakah cita-citanya lebih penting daripada persahabatan dan keluarga?
Shukri Yahaya, yang membawa watak Shah, melihat karakter ini sebagai seorang yang penuh semangat namun sering berdepan dengan cabaran dalam perniagaan dan hubungan peribadi. “Shah dalam Bru bukan sekadar seorang peniaga kopi. Dia berani mengejar impian, walaupun terpaksa berdepan dengan kegagalan dan konflik. Wataknya mencerminkan realiti ramai orang yang ingin mengubah hidup tetapi sering terhalang oleh cabaran yang dihadapi. Saya berharap penonton dapat melihat perjuangan Shah sebagai sesuatu yang dapat mereka rasakan dan nikmati. Ini juga merupakan comeback saya selepas berehat seketika, dan saya berharap penonton akan menyukai Bru,” kata Shukri.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perjalanan Shah dalam Bru, yang penuh dengan cabaran, gelak tawa, dan kehangatan persahabatan. Saksikan Bru bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis, eksklusif hanya di Tonton! Strim episod baharu melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.
Untuk info lanjut mengenai drama kegemaran anda, ikuti Tonton di media sosial di Facebook, Instagram, dan Twitter di @TontonMY.