BluntSheep Gegar Industri Dengan Mini Album “Di Puncak Dunia”

Kumpulan muzik tempatan BluntSheep di bawah naungan Padu Records dengan bangganya melancarkan sebuah mini album istimewa berjudul Di Puncak Dunia. Album ini memuatkan empat buah lagu asli, termasuk lagu utama bertemakan patriotik yang membawa mesej perjuangan, perpaduan serta aspirasi untuk mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Pelancaran mini album ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures, sebuah inisiatif di bawah dasar Kerajaan Madani yang berperanan merancakkan bakat tempatan serta memperkukuh industri kreatif tanah air. Sokongan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan karya seni tempatan terus berkembang maju, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Album Di Puncak Dunia lahir daripada rasa cinta mendalam terhadap tanah air. BluntSheep ingin menyampaikan mesej bahawa walaupun rakyat Malaysia datang daripada pelbagai latar belakang, mereka tetap sejiwa dan bersatu demi mengangkat martabat negara. Sebagai tanda patriotisme, kumpulan ini dengan penuh bangga menukar warna gitar mereka kepada Jalur Gemilang sekali gus menyebarkan semangat cinta negara melalui karya muzik.

Dalam kenyataan rasmi, BluntSheep menegaskan bahawa karya ini mampu memberi inspirasi bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat global. Mini album ini turut menjadi simbol harapan dan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus melangkah megah, meraih kejayaan serta berdiri sama tinggi di pentas dunia. Pada masa yang sama, BluntSheep berharap pelancaran album ini akan menjadi batu loncatan dalam perjalanan mereka sebagai kumpulan muzik tempatan yang berhasrat menembusi pasaran antarabangsa.

Album ini menampilkan empat buah lagu hasil ciptaan mereka sendiri iaitu Di Puncak Dunia, Lelah, Cinta Paling Hebat dan Hanya Dia. Kesemua lagu tersebut kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama.

BluntSheep merupakan kumpulan muzik muda tempatan yang aktif menghasilkan karya segar dengan mesej yang kuat. Dengan semangat perjuangan dan visi yang jelas, kumpulan ini berhasrat membawa nama Malaysia ke puncak dunia melalui muzik mereka. Kumpulan ini dianggotai oleh tiga anak muda berusia 18 tahun iaitu Atta Rumnan, Umar Naufal dan Mosses, manakala pemain bass asal mereka, Dzaff, kini sedang berehat untuk memberi tumpuan kepada pelajaran. Buat masa ini, BluntSheep dibantu oleh Jayden selaku pemain bass serta Ariff Azmi sebagai gitaris kedua.

Untuk mengikuti perkembangan terkini BluntSheep, orang ramai boleh melayari laman sosial rasmi mereka di Instagram, TikTok dan Threads menerusi akaun @thebluntsheep. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Padu Records atau BluntSheep Management melalui En. Hadi di talian 016-217 3665 atau emel padurecords@gmail.com.