Tiga episod pertama siri kegemaran, Keluarga Iskandar 3, telah mula menemui peminat pada 6, 7, dan 8 Februari lalu, disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria. Selain menampilkan watak utama seperti Khatijah Ali atau Mak Jah (Kismah Johari), Hilal Azman sebagai Aziz Iskandar (Abang Long), Sobri Anuar sebagai Azman Iskandar (Abang Ngah), Susan Lankester sebagai Kamariah Abdullah (Kak Ngah), Azhar Sulaiman sebagai Kamal (Abang Teh), Anita Baharom sebagai Azura Iskandar (Kak Teh), dan Zain Hamid sebagai Azlan Iskandar (Ayah Chik), musim ketiga ini juga memperkenalkan watak baru yang mencuri tumpuan peminat.
Menerusi perkongsian di media sosial seperti Threads, Instagram, dan Facebook, ramai peminat teruja melihat Baizura Kahar kembali ke layar kaca. Kemunculannya sebagai Dr Sofea, isteri kepada Alan, menjadi pengubat rindu buat penonton yang sudah lama menantikan kehadiran pelakon ini, lebih 17 tahun selepas filem Sepi pada 2008. Baizura berkongsi bahawa dia berehat panjang daripada dunia lakonan selepas menamatkan pengajian di universiti dan memilih untuk bekerja di bidang lain.


Minat berlakon Baizura tidak pernah pudar, dan beliau menyifatkan tawaran daripada KL Motion Pictures Sdn Bhd untuk terlibat dalam Keluarga Iskandar 3 sebagai tepat dari segi masa dan projek. Dengan anak-anak yang sudah besar, Baizura merasakan ini adalah waktu terbaik untuk kembali berlakon. Pengalaman bekerjasama sebelum ini dengan pengarah dan penulis skrip Wan Hazliza Wan Zainuddin memberikan keselesaan tambahan, sementara format siri 24 episod yang ringan dan komedi menjadi platform sempurna untuk beliau memulakan semula kerjaya lakonan.
Bercakap mengenai peluang comeback ini, Baizura menegaskan bahawa beliau gembira dapat kembali berlakon dan bersedia menerima tawaran lain yang sesuai dengan minat dan aspirasi seninya. Beliau menganggap Keluarga Iskandar 3 sebagai batu loncatan untuk kembali aktif dalam industri dan berjanji untuk terus memberi komitmen sepenuhnya terhadap wataknya.
Keluarga Iskandar 3 boleh ditonton setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria atau distrim melalui Astro GO dan sooka.