Baby Papa: Kisah Ayah Tunggal Penuh Drama!

Walaupun kecil, semangat Alisha sangat besar! Drama Baby Papa akan menemui penonton di slot Samarinda TV3 dengan sebuah cerita yang penuh kehangatan tentang kasih sayang ayah, pengorbanan, dan usaha menyatukan keluarga kembali.

Baby Papa, hasil terbitan Sha’s Media Sdn Bhd, membawa penonton menyelami hubungan ayah dan anak yang penuh cabaran dan ujian. Drama ini akan mula bersiaran pada 12 Jun 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam hanya di TV3.

Drama ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Kirana Batrisyia, Emelda Rosmila, Fauziah Nawi dan ramai lagi. Cerita bermula dengan Alisha (Kirana Batrisyia), seorang kanak-kanak ceria dan bijak yang tinggal bersama ayah tunggalnya, Didie (Faizal Hussein), dan neneknya (Fauziah Nawi).

Setelah neneknya meninggal dunia, Didie mengalami kemurungan dan mereka memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menunaikan amanah arwah nenek, iaitu mencari ibu Alisha, Rosie (Emelda Rosmila). Sepanjang perjalanan, mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan, terutamanya dengan sifat Alisha yang gemar membantu sesiapa sahaja yang mereka temui.

Namun, setibanya di Kuala Lumpur, mereka mendapati Rosie sudah berpindah tempat tinggal. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Adakah Alisha akan berputus asa dalam pencariannya atau akan terus berjuang?

Pastikan anda tidak terlepas menyaksikan drama penuh emosi ini yang berdurasi 20 episod di slot Samarinda TV3. Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai drama ini, lawati laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat. – Tehtariktimes