AVOCake Pukis & Delight Bawa Cita Rasa Indonesia ke Kuala Lumpur

Menggabungkan sajian ikonik dan popular dari Indonesia, AVOCake Pukis & Delight bakal menjadi destinasi kulinari baharu untuk penggemar makanan Indonesia di Malaysia.

Restoran berkonsepkan santapan keluarga itu menghimpunkan pelbagai cita rasa menerusi hidangan dari beberapa wilayah di Republik Indonesia.

Pelanggan berpeluang menikmati keunikan kulinari Nusantara yang kaya dengan tradisi dan cita rasa dalam satu lokasi.

Antara hidangan yang ditawarkan termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam dan Sempol Daging.

Pilihan lain termasuk Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai.

Restoran itu turut menawarkan pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado yang menjadi antara tarikan istimewanya.

AVOCake Pukis & Delight diasaskan oleh Dr. Shamsiah Yaakob bersama Mohd Azri Ahmad Kamil yang turut bertindak sebagai pengarah restoran tersebut.

Majlis perasmian dan pelancarannya dimeriahkan dengan kehadiran beberapa selebriti, termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.

Restoran itu turut menerima sokongan daripada selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, yang menjadi antara pelabur dan pembiayanya.

Pelabur lain yang terlibat ialah Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef dan Eny Martuti Kamidjo.

Dr. Shamsiah berkata, idea untuk menubuhkan restoran tersebut tercetus daripada minatnya yang mendalam terhadap kekayaan warisan makanan Indonesia.

Beliau juga berhasrat memperkenalkan hidangan yang mempunyai nilai tradisi, kreativiti dan keunikan tersendiri kepada pelanggan di Malaysia.

“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya.

Dr. Shamsiah mempelajari sendiri kaedah penyediaan pelbagai hidangan Indonesia sepanjang tujuh tahun menetap di negara berkenaan.

Ketika itu, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain mempunyai pengalaman bersama beberapa syarikat swasta di Indonesia.

Pengalaman tersebut memperkayakan pengetahuannya mengenai kepelbagaian kulinari Indonesia dan menjadi inspirasi untuk memperkenalkan cita rasa berkenaan kepada masyarakat Malaysia.

Menurut Dr. Shamsiah, minatnya terhadap dunia masakan menjadi antara pencetus idea untuk mengubah pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang berada di Indonesia menjadi sebuah perniagaan.

“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan.

“Pada tahun 2025, saya terfikir, mengapa tidak saya membuka perniagaan makanan dan membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia?

“Pada masa sama, saya juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia,” katanya.

Langkah pertama untuk merealisasikan impian tersebut bermula dengan pembukaan sebuah cawangan kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban.

Sambutan menggalakkan daripada pelanggan mendorong Dr. Shamsiah membuka sebuah lagi restoran di Sikamat, Seremban, pada penghujung Disember tahun lalu.

“Percubaan pertama saya adalah membuka sebuah cawangan kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban.

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka ia mendapat sambutan yang begitu baik. Sambutan tersebut mendorong saya membuka sebuah lagi restoran di kawasan Sikamat,” katanya.

Pembukaan AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur pula tercetus selepas kunjungan Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, bersama kumpulannya ke restoran di Sikamat.

“Ibu Ratieh bersama kumpulannya pernah berkunjung ke restoran kami di Sikamat dan bertanya mengapa saya tidak membuka restoran di Kuala Lumpur.

“Daripada pertemuan dan perbualan itu, idea tersebut mula berkembang. Akhirnya, bersama Ibu Ratieh dan beberapa rakannya, terhasillah AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azri berkata, pemilihan menu dibuat dengan teliti bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang popular di Indonesia dan mempunyai tarikan tersendiri dalam landskap kulinari semasa.

“Kami melihat makanan Indonesia semakin mendapat perhatian di rantau ini. Banyak hidangan dari Indonesia menjadi popular kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebalik makanan tersebut.

“Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan,” katanya.

Selain menjadi lokasi menikmati makanan, AVOCake Pukis & Delight menyasarkan untuk menjadi ruang santapan yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi berkualiti.

Dengan membawa semangat “Rasa Indonesia, Pengalaman Istimewa”, restoran itu berharap dapat menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan yang mahu menikmati keunikan kulinari Nusantara di Kuala Lumpur.