“Anom Suraya” Tampil Dengan Siaran Eksklusif Selama Dua Jam Tanpa Henti Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Sebuah karya yang pernah mencetuskan fenomena dalam dunia sastera Melayu kini kembali menemui penonton dalam bentuk adaptasi drama televisyen. Anom Suraya, novel popular nukilan Dr. Samsiah Mohd. Nor yang pernah menjadi antara novel Melayu paling laris pada era 1990-an, bakal menghiasi slot Lestary TV3 mulai 4 Julai ini dengan sentuhan pengarah tersohor, Osman Ali. Lebih istimewa, drama ini bukan sahaja menghidupkan semula karya malar segar tersebut, malah turut mempertemukan dua generasi apabila anak kepada penulis novel itu sendiri, Daiyan Trisha, memegang watak utama sebagai Anom.

Diterbitkan oleh Nuansa Film Sdn. Bhd., drama bersiri 13 episod ini mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan pilihan hidup yang sarat dengan konflik emosi serta nilai kekeluargaan. Menggabungkan barisan pelakon seperti Daiyan Trisha, Idris Khan, Yusuf Bahrin, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Halim Radzi, Puteri Khareeza dan Iman Suhana, naskhah ini dijangka mengubat kerinduan peminat drama adaptasi yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

Bagi meraikan tayangan perdana, TV3 bakal menyajikan siaran eksklusif selama dua jam menerusi tayangan dua episod pertama secara berturut-turut pada Sabtu, 4 Julai, bermula jam 9 malam. Selepas itu, Anom Suraya akan bersiaran secara tetap pada setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam menerusi slot Lestary TV3.

Drama ini mengisahkan perjalanan hidup Anom, seorang gadis kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pembantu rumah demi membantu ibunya. Di kediaman Puan Raden, Anom menjaga Bakhtiar dan adiknya, Badrol yang mengalami masalah kesihatan mental. Kehadiran Anom sedikit demi sedikit membawa perubahan dalam kehidupan keluarga tersebut, namun situasi menjadi semakin rumit apabila hubungan Anom dan Bakhtiar mula bertukar menjadi cinta, manakala Badrol turut menyimpan perasaan terhadap gadis itu. Dalam masa yang sama, Anom berdepan dilema apabila diminta terus berada di sisi Badrol demi kestabilan keluarganya.

Lebih daripada sekadar kisah percintaan, Anom Suraya menyelami konflik tentang pengorbanan, tanggungjawab dan pilihan hidup yang sering menguji hati manusia. Kekuatan jalan ceritanya yang dekat dengan kehidupan masyarakat menjadi antara faktor utama novel ini terus dikenang sehingga hari ini, selain pembangunan watak yang sarat dengan nilai budaya Melayu.

Berkongsi mengenai penglibatannya, Daiyan Trisha mengakui drama ini mempunyai nilai sentimental yang cukup besar kerana ia merupakan adaptasi daripada novel hasil karya ibunya sendiri. Menurutnya, peluang membawa watak Anom ke layar kaca hadir bersama tanggungjawab besar untuk memberi penghormatan kepada karya yang sangat bermakna buat keluarganya.

Sementara itu, Osman Ali menyifatkan kekuatan Anom Suraya terletak pada kejujuran penceritaannya. Beliau percaya penulisan Dr. Samsiah Mohd. Nor menjadi tunjang utama kepada perjalanan setiap watak, dan sebagai pengarah, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan roh asal karya itu terus dipelihara agar emosi serta mesej yang ingin disampaikan dapat dirasai sepenuhnya oleh penonton.

Dr. Samsiah pula menyifatkan Anom Suraya sebagai sebuah karya yang lahir daripada pengalaman, pemerhatian dan naluri seorang ibu serta penulis. Baginya, naskhah ini bukan sekadar mengangkat kisah cinta, tetapi memperlihatkan bagaimana manusia sering diuji dengan dilema antara hati, tanggungjawab dan takdir yang tidak sentiasa memihak kepada mereka.

Dengan gabungan jalan cerita yang kuat, sentuhan pengarahan berpengalaman serta barisan pelakon yang mantap, Anom Suraya dijangka menjadi antara drama tempatan yang mencuri perhatian penonton tahun ini, sekali gus menghidupkan semula nostalgia sebuah karya klasik yang terus relevan merentasi generasi.

Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.