Anom Suraya Bawa Nostalgia Novel Terlaris Era 90-an ke Slot Lestary TV3

Sebuah karya yang pernah mencipta fenomena dalam dunia sastera Melayu kini kembali menghidupkan nostalgia apabila diadaptasi ke kaca televisyen menerusi drama bersiri Anom Suraya. Lebih istimewa, naskhah ini lahir daripada gabungan kreativiti dua generasi apabila novel asal hasil nukilan Dr. Samsiah Mohd. Nor diterjemahkan ke layar dengan sentuhan anaknya sendiri, Daiyan Trisha. Adaptasi ini bukan sahaja mengangkat kisah cinta yang penuh emosi, malah menampilkan perjalanan hidup yang sarat dengan pengorbanan dan pilihan yang mampu mengubah takdir seseorang.

Drama terbitan Nuansa Film Sdn. Bhd. arahan Osman Ali ini akan menemui penonton menerusi slot Lestary TV3 bermula 4 Julai 2026. Bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 malam, drama sebanyak 13 episod ini dibintangi oleh Daiyan Trisha, Idris Khan, Yusuf Bahrin, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Halim Radzi, Puteri Khareeza, Iman Suhana serta barisan pelakon berbakat lain. Sebagai pembuka tirai, TV3 turut menghadiahkan tayangan eksklusif selama dua jam yang memaparkan dua episod pertama secara berturut-turut pada malam tayangan perdana.

Novel Anom Suraya yang diterbitkan pada tahun 1992 pernah menjadi antara novel Melayu paling laris pada zamannya apabila menerima empat hingga lima cetakan semula hasil sambutan luar biasa daripada pembaca. Kejayaan tersebut membuktikan kekuatan jalan cerita yang dekat dengan realiti masyarakat serta mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pembacanya. Selepas lebih tiga dekad, karya malar segar itu kini diberikan nafas baharu menerusi adaptasi televisyen.

Kisah ini mengikuti kehidupan Anom, seorang gadis kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur bagi membantu keluarganya dengan bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman Puan Raden. Di situ, Anom dipertanggungjawabkan menjaga Bakhtiar serta adiknya, Badrol, yang mengalami masalah kesihatan mental. Kehadiran Anom sedikit demi sedikit membawa perubahan kepada kehidupan keluarga tersebut, namun dalam masa yang sama membuka ruang kepada pelbagai konflik emosi.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila hubungan antara Anom dan Bakhtiar mula diselubungi perasaan cinta. Pada masa yang sama, Badrol turut menaruh hati terhadap Anom, sekali gus mewujudkan konflik yang sukar diselesaikan. Puan Raden pula berharap Anom terus berada di sisi Badrol demi memastikan kestabilan emosi anaknya, menyebabkan Anom terpaksa memilih antara perasaan sendiri dan tanggungjawab yang dipikul.

Bagi Daiyan Trisha, membawakan watak utama dalam drama ini merupakan pengalaman yang amat peribadi kerana novel tersebut merupakan hasil tulisan ibunya sendiri. Menurut beliau, Anom Suraya mempunyai nilai sentimental yang sangat besar buat keluarganya kerana karya itu merupakan antara novel paling bermakna buat ibunya serta menjadi kegemaran arwah bapanya. Justeru, peluang menghidupkan watak Anom dianggap sebagai satu amanah besar yang ingin dilaksanakan dengan penuh penghormatan terhadap karya asal.

Pengarah Osman Ali pula menyifatkan kekuatan utama Anom Suraya terletak pada kejujuran penceritaannya yang kekal relevan merentasi zaman. Beliau menjelaskan bahawa setiap watak dibangunkan dengan cukup teliti melalui penulisan Dr. Samsiah Mohd. Nor, dan menjadi tanggungjawabnya sebagai pengarah untuk memastikan roh asal karya itu terus dipelihara apabila diterjemahkan ke medium televisyen. Pendekatan tersebut diharap mampu membuatkan penonton benar-benar memahami dan merasai perjalanan setiap watak.

Dr. Samsiah Mohd. Nor turut menyifatkan Anom Suraya sebagai sebuah karya yang lahir daripada pengalaman, pemerhatian dan naluri seorang ibu serta penulis. Menurut beliau, kisah ini bukan sekadar memaparkan percintaan, sebaliknya mengangkat persoalan mengenai pilihan hidup, pengorbanan tanpa syarat dan dilema yang sering dihadapi manusia apabila berdepan antara hati, tanggungjawab dan takdir.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan tayangan perdana Anom Suraya pada Sabtu, 4 Julai 2026 bermula jam 9.00 malam menerusi slot Lestary TV3 yang akan menampilkan dua episod pertama secara eksklusif. Selepas itu, drama ini akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu pada waktu yang sama. Penonton juga boleh menikmati episod baharu 24 jam lebih awal menerusi platform penstriman Tonton.