Dalam suasana penuh gemilang di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025, pelakon popular Malaysia Anna Jobling sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila dinobatkan sebagai penerima Outstanding Asian Star Malaysia. Berada di pentas berprestij antarabangsa itu, Anna mencuri tumpuan ramai dengan penampilan anggun dan pesona tersendiri, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Sepanjang berada di Seoul, Anna turut berpeluang bertemu dan merakam momen istimewa bersama barisan bintang terkenal Asia seperti Daniel Padilla (Filipina), Ju Ji-hoon, Taecyeon (2PM) dan IU (Korea), Film Rachanun Mahawan (Thailand) serta Kentaro Sakaguchi (Jepun). Interaksi mesra ini bukan sahaja menggambarkan keakraban Anna dalam kalangan rakan industri serantau, malah memperlihatkan pengiktirafan terhadap kehadirannya sebagai wakil Malaysia yang semakin menyerlah di pentas Asia.

Penampilan Anna di karpet merah SDA 2025 turut menjadi perhatian, dengan senyuman manis dan aura bintang yang memikat lensa kamera. Anna mengakui rasa terujanya berada di pentas antarabangsa dan berkongsi hasrat untuk menikmati setiap detik indah di Seoul. “Selepas anugerah ini, saya nak jelajah semua tempat cantik di Seoul, ambil gambar-gambar indah dan jumpa ramai orang,” katanya sambil tersenyum mencerminkan sisi peribadinya yang ceria dan merendah diri walaupun kini berdiri sebaris dengan bintang Asia.
Pencalonan Anna menerusi drama popular “Hai Cinta, Dengarkanlah!” dalam kategori Outstanding Asian Star Malaysia bukan sahaja mengiktiraf bakatnya yang semakin berkembang, tetapi juga membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan drama tempatan ke peringkat antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram @tontonmy.