ALPHA Gegar Industri Muzik Dengan MV Rasmi Single Kedua ‘P Ramlee Saloma’

Kumpulan lelaki pertama di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, ALPHA, terus mencipta fenomena dalam industri muzik tanah air dengan kejayaan single terbaharu mereka berjudul “P Ramlee Saloma”. Dilancarkan pada 18 Julai 2025, lagu ini bukan sahaja menjadi OST sebuah drama popular, malah telah memperkukuhkan lagi kedudukan ALPHA sebagai pendatang baru yang berpengaruh dalam dunia muzik.

Dianggotai oleh tujuh anak muda berbakat iaitu Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol, ALPHA merupakan hasil daripada program realiti Big Stage Alpha. Selepas kejayaan single sulung “Monalisa (Bang Bang)”, kumpulan ini sekali lagi membuktikan kemampuan mereka melalui karya baharu yang lebih matang dan penuh emosi.

Membawa elemen balada moden, “P Ramlee Saloma” diinspirasikan daripada kisah cinta abadi dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Lagu ini berjaya menyentuh hati ramai pendengar, malah dalam masa singkat telah mengumpul lebih 22 juta capaian digital merangkumi strim di Spotify, Apple Music, YouTube Music, serta tontonan di YouTube dan platform video pendek.

Bagi anggota kumpulan, kejayaan ini menjadi bukti penerimaan positif peminat terhadap muzik mereka. “Saya sangat bangga kerana dalam tempoh singkat sahaja lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat membuktikan muzik kami diterima, dan itu buat saya benar-benar terharu,” kata Rizal Rasid.

Manakala bagi Araff, kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya. “Bila nampak lagu ini trending, semangat saya naik berganda. Saya mahu peminat tahu bahawa kami akan terus berusaha hasilkan karya yang lebih baik, dan saya harap mereka terus bersama kami,” ujarnya.

Sebagai tanda penghargaan buat peminat, ALPHA kini tampil dengan video muzik rasmi (MV) “P Ramlee Saloma”. Dihasilkan dengan sinematografi moden dan visual romantik, MV ini menambah makna kepada lagu, di samping menjadi hadiah istimewa buat penyokong setia mereka. “MV ini lahir dari hati kami untuk peminat. Ia pemangkin untuk kami hasilkan lebih banyak visual yang mantap selepas ini,” kata Ray-D.

Rakan sepasukan lain turut berkongsi rasa terharu atas sokongan luar biasa yang diterima. “Paling best bila baca komen-komen yang kata lagu ini menyentuh hati mereka. Itu motivasi sebenar untuk kami terus berkarya,” jelas Daniel Sher. Sementara itu, Izat Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan. “Kejayaan ini milik peminat, dan kami janji akan tampil dengan komposisi lebih segar selepas ini,” katanya.

Perasaan sama dikongsi oleh Afiq Sky dan Ariel Fesol yang menyifatkan perjalanan muzik ALPHA masih panjang. “Bayangkan, baru dua single sahaja kami sudah capai tahap ini. Itu semua kerana sokongan peminat, dan saya yakin ALPHA mampu pergi lebih jauh dengan doa dan sokongan mereka,” ujar Afiq.

Mulai hari ini, 19 September 2025, peminat boleh menonton MV rasmi “P Ramlee Saloma” secara eksklusif di YouTube @RocketfuelNetwork. Manakala single ini boleh terus distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, Joox dan KKBox.