“Akad Yang Terlindung” Membawa Drama Penuh Emosi di Slot Samarinda TV3

Bagaimanakah sebuah hubungan mampu bertahan apabila diuji dengan rahsia yang selama ini tersembunyi? Bolehkah kepercayaan dipulihkan setelah segala pengkhianatan terungkap? Akad Yang Terlindung, sebuah drama penuh emosi yang sarat dengan elemen keluarga, cinta, dan konflik, bakal menemui penonton bermula 14 Januari 2025 di slot Samarinda TV3.

Drama ini, hasil sentuhan pengarah terkenal Idora Abdul Rahman, membawa kisah Sophia yang penuh warna kehidupan. Lakonan mantap barisan pelakon seperti Siti Hariesa, Adam Lee, Ryun, Lorenzo Irman, dan Khalida Balqis di bawah produksi Creative Skill Solution menjadikan Akad Yang Terlindung antara karya yang wajib ditonton. Dengan 20 episod, ia menjanjikan pengisian penuh emosi, liku-liku kehidupan, dan kejutan.

Sophia, lakonan Siti Hariesa, membesar bersama ibunya, Aisyah, sebagai pembantu rumah di bawah jagaan Dato’ Haris dan Datin Leyla. Namun, kehidupan mereka penuh cabaran, sering menjadi mangsa buli Datin Leyla dan anak sulungnya, Lisa. Walaupun anak kedua keluarga itu, Lara, sentiasa menyokong mereka, Sophia tetap nekad meninggalkan rumah tersebut demi mencari kebebasan. Namun, Aisyah enggan meninggalkan kediaman itu, seolah-olah terikat dengan sesuatu yang tidak diketahui Sophia.

Sophia kemudian memulakan kerjayanya sebagai pakar fisioterapi, di mana dia bertemu dengan Remy, lakonan Adam Lee. Hubungan profesional mereka bertukar rumit apabila Remy menunjukkan minat terhadap Sophia. Dalam masa yang sama, Remy turut berdepan konflik keluarganya sendiri.

Remy, yang sering ditekan oleh ayahnya, Azri, menjadi alat untuk kepentingan syarikat keluarga. Haknya sebagai pewaris syarikat dinafikan kerana pengaruh isteri kedua Azri, yang lebih mengutamakan anak kandungnya, Raff.

Konflik memuncak apabila Azri dan Dato’ Haris merancang untuk menyatukan Remy dan Lisa demi perniagaan mereka. Lisa, yang menganggap Remy bakal menjadi CEO, bersetuju dengan rancangan tersebut. Namun, bagi Remy, segalanya menjadi lebih rumit apabila Sophia tersalah anggap dia curang bersama Lisa, individu yang paling Sophia benci.

Bagaimana Sophia akan menghadapi semua pengkhianatan dan rahsia yang terbongkar? Adakah cinta Sophia dan Remy mampu bertahan di sebalik segala cabaran? Saksikan drama penuh emosi ini setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 atau strim secara langsung di iQIYI.

Episod baharu Akad Yang Terlindung tersedia di aplikasi iQIYI sejam selepas tayangan di TV3 untuk pelanggan VIP. Episod percuma juga boleh diakses selepas 48 jam tayangan. Jangan lupa muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store untuk pengalaman tontonan terbaik

Untuk berita dan kemas kini terbaru, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram (@TV3Malaysia) serta Instagram rasmi Drama Sangat (@dramasangat).

Akad Yang Terlindung bukan sekadar drama, tetapi sebuah perjalanan emosi yang akan meruntun hati penonton. Pastikan anda tidak ketinggalan!