Wanita Milik Kaiden bakal menghangatkan slot Akasia dengan kisah cinta penuh konflik dan emosi yang mendalam. Diadaptasi daripada novel popular karya Nuriffa, drama ini akan mula bersiaran pada 26 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3 atau boleh ditonton secara penstriman di iQIYI pada pukul 8.00 malam secara percuma.
Di bawah arahan Jamal Khan, pengarah terkenal menerusi 7 Hari Mencintaiku, dan terbitan Cinema Stage Production, naskhah ini menjanjikan sebuah pengalaman emosi yang luar biasa. Barisan pelakon hebat seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Emma Maembong, Shahz Jaszle, Liza Abdullah, Dayang Areeda, dan Datin Sri Maria Farida dijangka menghidupkan setiap watak dengan cemerlang.
Cerita bermula dengan pertemuan tidak dirancang antara Haila (Emma Maembong) dan Erman (Shahz Jaszle), yang membawa kepada hubungan yang penuh rahsia. Erman, yang telah bertunang dengan Sarah (Rasya Dean), menyembunyikan statusnya demi memikat hati Haila. Dalam masa sama, sahabat baiknya, Kaiden (Iedil Dzuhrie Alaudin), berkongsi masa lalu dengan Haila yang membuatnya terperangkap antara melindungi Haila atau membiarkannya menjadi mangsa.
Situasi semakin rumit apabila Sarah, yang sedang hamil, mendesak Erman bertanggungjawab, manakala ibu Erman, Puan Kamariah (Liza Abdullah), berusaha menyatukan mereka demi membalas budi keluarga Sarah. Di sebalik semua ini, Kaiden yang sebenarnya menaruh hati terhadap Haila sejak zaman sekolah, menghadapi dilema besar – antara menyelamatkan Haila atau menerima takdir cintanya yang tidak kesampaian.
Pelakon utama, Iedil Dzuhrie Alaudin, meluahkan keterujaannya untuk debut di slot Akasia. “Saya sangat bersyukur diberi peluang membintangi drama ini. Watak Kaiden adalah cabaran besar, tetapi memberi ruang untuk saya terus berkembang sebagai pelakon,” katanya.
Wanita Milik Kaiden bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi sarat dengan konflik dalaman, penyesalan, dan pengorbanan. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama ini bermula 26 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam di TV3. Untuk pengalaman eksklusif, strim episod terkini di iQIYI VIP tepat jam 8.00 malam atau tonton secara percuma 48 jam selepas siaran.
Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store untuk tidak melepaskan episod menarik ini. Dapatkan juga maklumat terkini di laman sosial rasmi TV3 Malaysia dan Drama Sangat. Saksikan bagaimana cinta dan takdir mencorak perjalanan watak-watak dalam Wanita Milik Kaiden – sebuah kisah yang akan meninggalkan kesan mendalam.