Adakah Makanan Tambahan Semula Jadi Benar-Benar Selamat?

Di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia, makanan tambahan semula jadi semakin popular dan sering dianggap pilihan yang lebih selamat kerana dikaitkan dengan alam semula jadi serta bebas bahan kimia. Ramai pengguna menggunakannya sebagai sebahagian daripada rutin harian untuk menyokong kesihatan dan penampilan. Namun, tanggapan bahawa produk semula jadi semestinya selamat dan berkesan sebenarnya tidak selalu tepat.

Di Malaysia, tidak semua suplemen kesihatan memerlukan lesen atau penilaian keberkesanan sebelum dipasarkan. Ini meletakkan tanggungjawab besar di tangan pengguna untuk membuat pilihan yang berasaskan maklumat. Hakikatnya, istilah “semula jadi” bukan jaminan keselamatan. Sesetengah bahan semula jadi mungkin berisiko tinggi jika diambil dalam dos berlebihan atau tanpa pengawasan, malah boleh berinteraksi dengan ubat lain.

Menurut Alex Teo, Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik Asia Pasifik di Herbalife, akar manis yang sering digunakan dalam perubatan tradisional boleh memberikan kelegaan, tetapi jika diambil secara berlebihan, terutama dalam bentuk pekat, ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan elektrolit. Ini menunjukkan bahawa walaupun bahan itu semula jadi, ia tetap perlu digunakan dengan berhati-hati dan mengikut panduan yang betul.

Alex Teo, Pengarah, Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik, Herbalife

Tambahan pula, makanan tambahan sintetik yang dirumus khas untuk meniru sebatian semula jadi juga melalui proses ujian makmal yang ketat bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan. Oleh itu, faktor penentu bukan semata-mata sumber semula jadi atau sintetik, tetapi dos, kandungan dan bukti saintifik yang menyokong penggunaannya.

Lima mitos umum sering dikaitkan dengan makanan tambahan semula jadi. Pertama, ramai menyangka ia sentiasa selamat, sedangkan sesetengah tumbuhan mengandungi toksin seperti plumbum atau arsenik. Kedua, ada yang percaya ia boleh diambil tanpa had, sedangkan vitamin larut lemak seperti A, D, E dan K boleh menjadi toksik jika diambil berlebihan. Ketiga, makanan tambahan tidak seharusnya menggantikan ubat preskripsi ia hanya pelengkap kepada rawatan profesional. Keempat, makanan tambahan tidak boleh diambil sewenang-wenangnya bersama ubat kerana boleh menyebabkan interaksi berbahaya. Akhir sekali, tiada suplemen yang boleh menggantikan kepentingan diet yang seimbang dan berkhasiat.

Sebelum mengambil sebarang makanan tambahan, pengguna harus menilai produk secara kritikal. Pilihlah suplemen yang diuji oleh pihak ketiga dan mempunyai pensijilan keselamatan serta keberkesanan. Selain itu, keperluan kesihatan individu juga harus diambil kira kerana suplemen yang sesuai untuk seseorang mungkin tidak sesuai untuk orang lain. Justeru, dapatkan nasihat profesional kesihatan sebelum memulakan pengambilan sebarang produk tambahan.

Kesimpulannya, sama ada semula jadi atau sintetik, fokus utama haruslah pada kualiti produk, dos yang betul dan sokongan bukti saintifik. Jangan mudah terpengaruh dengan label semata-mata. Sebaliknya, ambillah pendekatan yang berinformasi agar pilihan makanan tambahan anda benar-benar menyokong kesihatan secara selamat dan berkesan dalam jangka masa panjang. – Tehtariktimes