ABU SI RAKSASA: Legenda Kaiju Pertama Malaysia

Dalam industri perfileman tempatan, genre sains fiksyen masih jarang diketengahkan berbanding genre popular seperti seram, aksi, dan komedi. Namun, syarikat produksi M Toons Media Sdn. Bhd. tampil berani dengan menghasilkan sebuah filem bercorak sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa, yang diangkat sebagai filem Kaiju pertama Malaysia.

Menurut penerbit, Zamin Fakry, idea penghasilan filem ini tercetus selepas perbincangan bersama Profesor Dr Hezri Adnan, seorang ahli akademik dalam bidang alam sekitar. Inspirasi tersebut kemudian diterjemahkan dalam bentuk naskhah yang mengangkat isu pencemaran melalui penceritaan seekor cicak salamander yang berubah menjadi gergasi.

Kisahnya berpusat pada watak Zaara (lakonan Sophia Al-Barakbah) yang membela seekor cicak salamander bernama Abu. Namun, Abu secara tidak sengaja terlepas ke dalam sebuah empangan yang tercemar dengan bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID. Pencemaran tersebut menyebabkan Abu bermutasi menjadi seekor raksasa. Dari situ, Zaara bersama rakan-rakannya, Sofiyan (lakonan Jaa Suzuran) dan Zidan (Zalif Sidek), bergabung tenaga untuk menyelamatkan Abu daripada diburu pihak berkuasa yang diketuai Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad (Afieq Shazwan).

Menariknya, cicak salamander dipilih sebagai tunjang cerita kerana sifat unik haiwan amfibia itu. Menurut pengarah filem merangkap penulis skrip, Ramdan Che Hassan, terdapat laporan bahawa salamander mampu membesar ke saiz yang luar biasa. Selain itu, ia bukan haiwan ganas dan sesuai dijadikan haiwan peliharaan, sekali gus selari dengan jalan cerita yang ingin diketengahkan.

Proses penggambaran telah berlangsung pada September 2023 di sekitar Lembah Klang, termasuk Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya. Filem ini menelan kos kira-kira RM2 juta, termasuk perbelanjaan untuk CGI dan VFX, dengan bantuan dana daripada Kementerian Komunikasi serta FINAS. Ramdan mengakui cabaran terbesar dalam menjayakan filem ini adalah keperluan kajian mendalam serta penggunaan CGI yang merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan produksi.

Filem ini turut dibintangi barisan pelakon popular seperti Azhar Sulaiman, Maria Farida, Afieq Shazwan, Adam Shahz, Samarinna Tolhip, Farid Amirul Hisham, Azri Iskandar, Along Eyzendy, dan Daddy Rock, selain penampilan khas daripada Dato’ Rizal Mansor, Ayahanda Rani Kulop, Mustaqim Bahadon, dan Kamarool Hj Yusof.

Dengan jalan cerita yang unik, mesej kesedaran alam sekitar, serta keberanian mencuba genre baharu, Abu Si Raksasa dijangka memberi nafas segar kepada industri perfileman Malaysia. Filem ini akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025.