Festival budaya kontemporari AKAR//NEXT 2026 mencatatkan kejayaan memberangsangkan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Central Market Pasar Seni, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Goodseed Event dengan sokongan Hotlink sebagai penaja utama, festival bertemakan “One Root. Infinite Futures.” ini menghimpunkan 160 vendor tempatan serta 23 persembahan pentas yang meraikan muzik, warisan, fesyen, gastronomi dan kreativiti Nusantara.

Meliputi kawasan parkir, ruang dalaman Pasar Seni dan Benteng Pasar Seni, keseluruhan lokasi berubah menjadi ruang pertemuan budaya serta ekonomi komuniti yang dinamik. Dari segi hiburan, rangkaian 23 persembahan menghidupkan suasana dari siang hingga malam dengan gabungan bunyi Afrobeat bersama elemen Nusantara, muzik elektronik dan irama tradisional termasuk adunan Gambus serta Tabla klasik bersama sentuhan moden. Barisan artis seperti D’Pujangga, Satwo, Aliff dan OUG turut memukau pengunjung dengan kepelbagaian identiti muzik masing-masing.


Selain muzik kontemporari, AKAR//NEXT 2026 turut memartabatkan seni warisan melalui persembahan Gamelan, Cak Lempong, Ghazal, Teater Randai, Dikir Barat dan tarian tradisional. Pendekatan kreatif ini membuktikan warisan budaya kekal relevan dan dekat dengan jiwa generasi muda. Bagi melengkapkan pengalaman seisi keluarga, sudut aktiviti melukis untuk kanak-kanak serta permainan rakyat seperti batu seremban dan congkak turut disediakan.
Sementara itu, penyertaan 160 vendor memeriahkan ruang kreatif dan gastronomi dengan sajian popular seperti Beriani Johor, Tahu Begedil, Takoyaki, Tahu Crispy, Popiah Fusion, hidangan tradisional Sabah, aneka kek, biskut, coklat, strawberi serta minuman matcha dan kopi. Produk gaya hidup seperti pakaian, minyak wangi, beg tangan, kasut dan aksesori buatan tempatan turut mendapat sambutan hangat, menjadikan AKAR//NEXT 2026 platform penting menyokong usahawan kreatif tempatan serta menghubungkan akar warisan dengan masa depan.














