Kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. membuahkan hasil memberangsangkan apabila penganjuran Mini Karnival Upin & Ipin Bersama Tourism Malaysia berjaya menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung. Berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di IOI Mall Damansara, inisiatif kreatif ini dirangka khas untuk memperluaskan promosi pelancongan berasaskan keluarga serta memperkukuhkan capaian Kempen Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027).
Sepanjang karnival berlangsung, reruai Tourism Malaysia menjadi tumpuan ramai dengan mempromosikan pelbagai produk serta pakej pelancongan tempatan yang menarik. Pameran ini turut dijayakan bersama penggiat industri terkemuka termasuk Pulse Group Putrajaya, Skyline Luge Kuala Lumpur dan Canopy Villa Group. Selain tawaran percutian keluarga, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, kemunculan istimewa watak ikonik siri Upin & Ipin, serta maskot rasmi VM2026-2027 iaitu Wira dan Manja. Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon suara terkenal, Asyiela Putri (Upin & Ipin) dan Muhammad Fareez Daniel (Ehsan).
Gabungan bersama Les’ Copaque ini memanfaatkan populariti luar biasa jenama animasi tempatan Upin & Ipin yang mempunyai pengaruh besar di pasaran domestik dan serantau, khususnya di Brunei, Indonesia dan Singapura. Pendekatan kreatif berasaskan harta intelek tempatan ini terbukti berkesan dalam menarik minat generasi muda serta mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi percutian mesra keluarga yang unggul.
Momentum positif ini selari dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang merekodkan 151.6 juta pelawat domestik bagi separuh pertama tahun 2026. Peningkatan 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah perbelanjaan melonjak 14 peratus kepada RM66.8 bilion. Sementara itu, ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026 turut meningkat 2.4 peratus kepada 32.3 juta orang. Selaras dengan aspirasi “Yang Indah, Destinasi Kita”, Tourism Malaysia komited meneruskan kerjasama kreatif sebegini demi memacu industri pelancongan negara.













