TehTarikTimes

News, Entertainment and Lifestyles

Singgah Kampus Tour 2026 Singgah Di UTeM Hari Ini, Himpunkan 15 Artis Tempatan Temui Mahasiswa

Industri muzik tempatan hari ini menyaksikan satu lagi inisiatif menarik menerusi penganjuran Singgah Kampus Tour 2026 oleh Malika Entertainment and Management. Tarikh rasmi telah bermula pada 2 November 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), jelajah ini bakal meneruskan perjalanannya ke tujuh buah universiti terpilih di seluruh negara sehingga 5 Disember depan.

Bertujuan mendekati generasi muda secara lebih dekat, siri jelajah ini menghimpunkan seramai 15 barisan artis popular dan bakat baharu yang sedang meningkat naik. Antara nama yang menjadi tarikan termasuklah Nabila Razali, Ryenald Guntabid, Najmi Niery, Anwar Amzah, Adzrin, Elica Paujin, Fiq7, Arghpiez, Zamir Harith, Apit Tearra, Ashraf Samad, Farah G dan Gretchene Quirina.

Menurut Pengarah Projeknya Anne Mukhtar, jelajah ini bukan sekadar penganjuran konsert mini di persekitaran kampus semata-mata, sebaliknya direka sebagai platform inklusif untuk membuka ruang lebih luas kepada artis tempatan khususnya mereka yang kurang mendapat pendedahan jelajah berskala besar sebelum ini.

“Menerusi interaksi secara langsung, artis berpeluang mendekati mahasiswa dalam suasana lebih santai. Setiap persinggahan juga membuka ruang untuk menghasilkan kandungan digital bagi memperluas capaian jelajah ini melangkaui lokasi persembahan fizikal,” jelas Anne.

Selepas UTeM, jelajah ini akan meneruskan destinasi ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pada 18 November, Universiti Malaya (UM) pada 25 November, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 November, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 30 November, sebelum ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1 Disember dan melabuhkan tirai di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 5 Disember 2026.

Selain hiburan, inisiatif ini turut membuka peluang kerjasama strategik bersama persatuan mahasiswa dan media kampus dalam memperkasakan ekosistem industri muzik tanah air. Bagi peminat muzik tempatan, pastikan anda tidak terlepas temu janji bersama artis kesayangan anda.