
BYD Sime Motors melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan perhimpunan terbesar pemilik kenderaan elektrik (EV) tersebut di Malaysia menerusi penganjuran acara eksklusif legenda-legenda AllStar.
Program gilang-gemilang selama dua hari ini menghimpunkan lebih 800 individu merangkumi para pemilik kenderaan BYD, ahli keluarga, rakan niaga serta pihak pengurusan tertinggi jenama berkenaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Inisiatif luar biasa ini diadakan bukan sahaja bagi meraikan komuniti pemandu EV yang kian berkembang mekar, malah menterjemahkan falsafah “Build Your Dreams” ke alam realiti dengan menyuntik inspirasi kecemerlangan menerusi kehadiran ikon sukan terkemuka dunia.
Kemuncak acara tersebut diserikan dengan kehadiran barisan bintang legenda bola sepak antarabangsa dan Liga Perdana Inggeris seperti Steven Gerrard, Michael Owen, Ryan Giggs, Alessandro Del Piero, Dida serta Javier Saviola. Para pemilik BYD berpeluang menikmati detik sekali seumur hidup melalui sesi ramah mesra eksklusif, bual bicara legenda, majlis makan malam gala dan perlawanan bola sepak AllStar yang penuh bertenaga. Keterujaan ini sebenarnya bermula lebih awal apabila barisan bintang ternama itu dibawa melawat pusat pameran BYD Glenmarie serta BYD TREC Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan BYD sejurus mendarat di ibu negara.

Detik paling menyentuh hati buat para hadirin terakam sewaktu perlawanan utama berlangsung apabila anak-anak terpilih daripada keluarga pemilik BYD diberi penghormatan melangkah masuk ke padang sebagai maskot rasmi bersama wira bola sepak pujaan mereka. Pengalaman berharga ini bukan sekadar mengukir memori manis yang sukar dipadamkan buat si cilik dan ibu bapa, malah membuktikan bahawa ekosistem pemilikan jenama tersebut sentiasa mengutamakan nilai kekeluargaan dan penghargaan tulus terhadap sokongan para pelanggannya.
Menurut pihak pengurusan BYD Sime Motors, penganjuran berskala besar ini membuktikan komitmen berterusan mereka bahawa pemilikan kenderaan elektrik bukan hanya terhad kepada teknologi mobiliti atas jalan raya, sebaliknya merangkumi pengalaman hidup yang inklusif serta bermakna. Pertemuan ini turut menjadi medan terbaik bagi pemilik pelbagai model seperti BYD SEAL dan BYD SEALION 7 bertukar pandangan, mengeratkan ukhuwah sesama pemandu EV, dan membina komuniti yang lebih padu di seluruh negara.





