
Arena muzik tanah air bakal melakar sejarah baharu apabila acara hip hop berskala mega, RAPAT Hip Hop Fest, disahkan berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Oktober 2026.
Dianjurkan oleh CEOMAN Entertainment dengan misi “When Underground Takes The National Stadium”, perhimpunan sepanjang hari ini berhasrat merapatkan jurang generasi antara perintis (OGs) dan bakat baharu, di samping menyatukan masyarakat merentasi bangsa melalui elemen budaya jalanan. Penganjur acara, Sherman Heng, menegaskan bahawa festival ini diadakan bagi membuktikan potensi sebenar serta nilai komersial bakat tempatan untuk menawan stadium terbesar negara.
Bagi fasa pertama persembahan di The Main Stage, barisan bintang utama seperti K-Clique, Forceparkbois, dan Bunga telah diumumkan, dengan senarai artis seterusnya bakal didedahkan secara berperingkat. Kemuncak festival bakal menyaksikan The National Cypher, segmen bersejarah yang menghimpunkan 100 rapper tempatan pelbagai era, negeri, dan bahasa di atas satu pentas. Selain muzik, festival ini menawarkan pengalaman holistik bermula jam 11 pagi hingga 11 malam menerusi lima zon: The Main Stage, The Underground, The Street, The Market, serta The Flavour/Rapat Bazaar (berlangsung 23–25 Oktober di Parking C). Menariknya, tiket RAPAT GENG (General Admission) ditawarkan pada harga mampu milik RM99 untuk memberi akses penuh kepada segenap lapisan peminat, dengan jualan rasmi telah bermula di platform maiseat.com dan ticket2u.com.



