Isu jenayah seksual membabitkan ahli keluarga terutama kes melibatkan bapa tiri terhadap anak sememangnya menjadi perhatian masyarakat apabila perkara tersebut terus berlaku walaupun hukuman berat telah dikenakan terhadap pelaku.
Melihat kepada kepentingan memberi kesedaran mengenai isu berkenaan, penerbit terkenal Dato’ A. Aida tampil menghasilkan sebuah filem berjudul Bisikan Nafsu yang mengangkat kisah trauma mangsa serta perjuangan individu yang berada di sisi mereka.
Menurut A. Aida, filem arahan Riza Baharudin itu bukan sekadar mengetengahkan isu jenayah seksual dalam keluarga, malah turut membawa mesej mengenai kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan.
Beliau berkata, antara objektif utama filem tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu yang berkahwin semula supaya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak.
Selain itu, filem tersebut turut menampilkan sudut pandang mengenai kesetiaan seseorang pasangan dalam menghadapi dugaan besar yang mengubah kehidupan.
Bisikan Nafsu mengisahkan Nadia yang berdepan trauma selepas menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri sehingga menyebabkan dirinya mengalami tekanan emosi dan beberapa kali cuba menamatkan hidup.
Namun, dalam menghadapi kegelapan tersebut, tunang Nadia iaitu Arisz tetap berada di sisinya dengan memberikan sokongan, mencari kebenaran serta cuba memahami perubahan yang berlaku terhadap dirinya.

Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United itu menggabungkan pelakon baharu bersama barisan pelakon berpengalaman dalam industri hiburan tempatan.
Menerajui filem tersebut ialah Azeva sebagai Nadia dan Aniq Suhair sebagai Arisz, selain menampilkan Zul Huzaimy sebagai UR (Ustaz Romantik), Aleza Shadan sebagai Alyssa, Watie Sadali sebagai Aida dan Raja Azmi sebagai Lola.
Turut membarisi pelakon pembantu ialah Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro, selain penampilan istimewa Ameng Spring serta Siti Khadijah.
Dalam masa sama, Bisikan Nafsu turut menjadi kemunculan rasmi Hello Production, sebuah syarikat produksi baharu yang diasaskan oleh Azeva sebagai penerbit.
A. Aida berkata, penubuhan syarikat tersebut adalah berdasarkan hasrat Azeva untuk membina pengalaman dalam bidang penerbitan secara berperingkat.
Menurutnya, seseorang penerbit perlu memahami keseluruhan proses penerbitan daripada awal hingga akhir bagi menghasilkan karya yang berkualiti.
Sementara itu, pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman menyifatkan kerjasama bersama A. Aida menerusi projek tersebut sebagai satu pengalaman bermakna.
Beliau berkata, A. Aida merupakan antara individu yang banyak membimbingnya ketika mula menceburi dunia penerbitan drama televisyen.
Bagi pengarah Riza Baharudin, peluang mengarahkan filem tersebut merupakan satu tanggungjawab besar terutama kerana ia merupakan filem pertama yang diarahkan olehnya.
Menurut Riza, antara cabaran utama sepanjang penggambaran adalah menghasilkan beberapa babak mencabar termasuk aksi di kawasan air terjun dan babak melibatkan aktiviti menyelam.
Walaupun berdepan cabaran, beliau lega apabila semua proses penggambaran berjalan lancar hasil komitmen penuh daripada barisan pelakon dan kru produksi.
Bisikan Nafsu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.






