Nabila Razali membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya menerusi single terbaharu Cukup Sampai Sini (CSS), sebuah karya yang membawa mesej tentang mengenali nilai diri, menetapkan batas dan keberanian untuk memilih diri sendiri.
Lebih istimewa, lagu ini menjadi pencapaian penting buat Nabila apabila beliau tampil sebagai pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack selain menulis keseluruhan lirik untuk karya tersebut.
Penglibatan secara langsung dalam proses penciptaan memberikan ruang kepada Nabila untuk menyampaikan emosi dan pandangan peribadinya menerusi pembentukan melodi, karakter muzik serta mesej yang ingin diketengahkan.

Bagi Nabila, pengalaman menghasilkan lagu sendiri buat pertama kali merupakan satu perjalanan yang cukup bermakna. Bersama Justin Seow Seng Tack, mereka berbincang bagi memastikan bunyi, karakter muzik dan lirik yang dihasilkan sesuai dengan identiti Nabila serta mudah dekat dengan pendengar.
Menurut Nabila, beliau mahu Cukup Sampai Sini membawa mesej yang kuat tetapi dalam masa sama kekal ringan dan mudah diterima.
Lagu ini mengangkat tema seseorang yang akhirnya memilih untuk berhenti daripada hubungan yang dipenuhi alasan, drama dan kekecewaan. Namun, mesej yang ingin disampaikan lebih besar daripada sekadar kisah perpisahan.
Bagi Nabila, Cukup Sampai Sini menggambarkan satu titik kesedaran apabila seseorang menyedari bahawa terlalu banyak memberi peluang dan terlalu lama memahami orang lain boleh menyebabkan diri sendiri terlupa untuk dihargai.
Mesej tersebut juga boleh dikaitkan dengan pelbagai bentuk hubungan dalam kehidupan seperti persahabatan, pekerjaan dan hubungan peribadi.
Dari sudut muzik, lagu yang diterbitkan dan disusun oleh Justin Seow Seng Tack ini tidak membawa pendekatan terlalu sedih walaupun mengangkat tema kekecewaan.
Sebaliknya, lagu ini membawa pendengar daripada perasaan kecewa kepada kekuatan untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih positif.
Bahagian “NO MORE, NO MORE” menjadi antara elemen utama dalam lagu ini yang menggambarkan keberanian untuk berhenti memberikan ruang kepada alasan dan perkara yang berulang.
Perkembangan sebagai pencipta lagu dan penulis lirik turut memperlihatkan perubahan Nabila dalam mengenali dirinya sebagai seorang artis.
Jika dahulu beliau lebih memikirkan pandangan orang lain, kini Nabila lebih yakin menentukan perkara yang ingin disampaikan melalui karya muziknya.
Menerusi Cukup Sampai Sini, Nabila turut memperlihatkan sisi yang lebih santai dan berani bereksperimen melalui aspek muzik serta visual.
Selain lagu yang membawa mesej tentang bangkit semula, muzik video rasmi Cukup Sampai Sini tampil dengan konsep dunia sekolah menengah yang penuh warna warni dan menghiburkan.
Nabila memilih latar persekolahan kerana ia merupakan pengalaman yang dekat dengan ramai orang, termasuk kisah cinta pertama, persahabatan serta pelbagai karakter yang terbentuk ketika zaman tersebut.
Muzik video ini turut menampilkan 12 cameo daripada pempengaruh dan selebriti seperti Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Lunia Ara, Syieda, Tengku Ratu, Eusoff, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Aimien dan Irfan Hifny.
Setiap personaliti membawa karakter tersendiri untuk menghidupkan suasana sekolah dalam dunia Cukup Sampai Sini, manakala Nabila tampil dengan karakter “The One Who Had Enough”.
Secara keseluruhannya, Cukup Sampai Sini memperlihatkan perkembangan Nabila Razali bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai artis yang semakin aktif dalam proses penciptaan dan menentukan hala tuju kreatifnya sendiri.
Karya ini bukan sekadar lagu tentang kekecewaan, tetapi sebuah perjalanan untuk mengenali nilai diri, melepaskan perkara yang tidak lagi baik dan memilih untuk terus melangkah ke hadapan.
Cukup Sampai Sini terbitan Nabila Razali Entertainment, Malika Entertainment & Management serta edaran Sony Music Entertainment Malaysia boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 11 September 2026. Muzik video rasmi pula mula ditayangkan di YouTube pada 22 September 2026.






