
Selepas sebulan dilancarkan, single kemunculan semula bintang AF8, Emma Suhaimi, berjudul “Tersakiti” terus mendapat sambutan apabila berjaya menempatkan diri dalam Top 10 carta ERA 40 di tangga ke-9.
Sehari selepas dilancarkan, lagu tersebut terlebih dahulu menembusi Top 30 carta berkenaan sebelum meningkat ke kedudukan Top 10 pada minggu ini. Dalam tempoh sebulan selepas dimuat naik ke YouTube, muzik video rasmi “Tersakiti” turut mencatatkan lebih daripada 200,000 tontonan.
Dicipta sepenuhnya oleh komposer dari Indonesia, Ilham Baso, “Tersakiti” merupakan sebuah lagu balada yang mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Menurut Emma, lagu tersebut bukan sekadar berkisar tentang perpisahan, sebaliknya membawa mesej mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan keberanian untuk meninggalkan hubungan yang toksik.
Emma berkata pengalaman hidup yang dilaluinya turut membantunya menghayati emosi yang dibawa menerusi lagu tersebut, termasuk pengalaman menghadapi kekecewaan selama hampir 16 tahun.
Bagi Emma, antara bait lirik yang paling dekat dengan dirinya ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”, yang menurutnya menggambarkan hakikat bahawa tidak semua perkara yang membahagiakan akhirnya menjadi milik seseorang.
Emma berharap “Tersakiti” dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan, khususnya individu yang memilih untuk menyimpan luka sendiri.
Single “Tersakiti” terbitan Nova Music Malaysia telah dilancarkan pada 14 Ogos 2026 dan kini boleh distrim di platform penstriman muzik utama. Muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos https://www.youtube.com/watch?v=hehE3-1peh4.









