Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal melakar sejarah apabila edisi Jubli Perak anugerah muzik paling berprestij di Malaysia itu akan berlangsung buat pertama kali di Sarawak.
Malam kemuncak AIM25 akan diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada Sabtu, 26 September 2026, dengan menghimpunkan barisan artis, penghibur dan personaliti industri muzik tanah air bagi meraikan pencapaian terbaik dalam muzik Malaysia.
Penganjuran AIM25 di Sarawak menjadi satu detik istimewa apabila acara berprestij ini bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-25 penganjurannya, malah turut membuka ruang untuk mengetengahkan kepelbagaian bakat muzik dari seluruh negara.
Malam kemuncak tersebut akan dikendalikan oleh pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.
Antara artis yang bakal menghiasi pentas AIM25 termasuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Akim Ahmad, Hael Husaini, Hafiz Suip, Marsha Milan, Adira Suhaimi, HUJAN, Estranged, Amir Masdi, Azlan Typewriter serta ramai lagi.
Selain barisan nama besar industri muzik tempatan, AIM25 turut menampilkan penyertaan artis Indonesia, Fajar Noor yang membawa elemen serantau dalam sambutan edisi Jubli Perak kali ini.
Empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim turut diberi peluang membuat persembahan di pentas utama sebagai simbol penghargaan terhadap generasi baharu muzik Malaysia.
Selain persembahan, AIM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah yang terdiri daripada artis dan personaliti hiburan daripada pelbagai latar industri.
Antara nama yang bakal terlibat termasuk Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnyboii, Noraniza Idris, Hazama, Stacy, Mila Jirin, Dr. Soo Wincci, Wany Hasrita dan ramai lagi.
Gabungan pengacara, penghibur serta penyampai anugerah ini dijangka memberikan pengalaman malam anugerah yang lebih dinamik serta mencerminkan kepelbagaian industri muzik Malaysia.
Edisi Jubli Perak AIM25 turut menerima sokongan kukuh daripada kerajaan, rakan strategik dan pihak industri dalam menjayakan penganjuran bersejarah ini di Sarawak.
AIM25 menerima Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) bagi menyokong penganjuran acara tersebut.
Selain itu, Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) turut menyediakan peruntukan sebanyak RM950,000 yang akan disalurkan kepada 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Antara penaja rasmi AIM25 ialah AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi, Orkid sebagai Air Minuman Rasmi dan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) sebagai Lokasi Rasmi.
AIM25 turut mendapat sokongan daripada rakan strategik termasuk AirBorneo, Kuala Cola, Maxim, Grand Margherita Hotel, Riverside Majestic Hotel, Riverside Majestic Astana Wing dan Sheraton Kuching.
Bagi sokongan penyiaran, ERA, HITZ, MY FM, RAAGA di bawah Astro Radio serta CATS FM bertindak sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25 bagi memperluaskan liputan kepada penonton seluruh negara.
Malam kemuncak AIM25 akan berlangsung pada 26 September 2026, jam 9 malam, dengan segmen karpet merah bermula pada jam 8 malam.
Acara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi TVS Saluran 122 dan TVS Inspire, membolehkan peminat muzik seluruh Malaysia bersama-sama meraikan malam bersejarah industri muzik tempatan.
Dengan gabungan barisan artis ternama, sokongan industri yang kukuh serta penganjuran pertama kali di Sarawak, AIM25 dijangka menjadi salah satu acara muzik paling bermakna dalam sejarah Anugerah Industri Muzik Malaysia.










