Yonnyboii dan Kaka Azraff Bergabung Menerusi Single Emosi “Lepaskan”

Selepas melalui proses penghasilan yang panjang, Yonnyboii dan Kaka Azraff akhirnya bergabung menerusi single terbaharu berjudul “Lepaskan”, sebuah karya pop yang membawa mesej tentang keberanian untuk melepaskan beban, luka serta perkara yang terlalu lama dipendam.

Menariknya, lagu tersebut pada asalnya tidak dirancang sebagai sebuah karya duet. “Lepaskan” tercipta ketika Yonnyboii dan Kaka Azraff menjalani proses menghasilkan album MPT milik Kaka yang dilancarkan pada Februari 2026.

Namun, proses penghasilan lagu tersebut terhenti apabila mereka merasakan karya berkenaan agak mencabar untuk dibawakan secara solo, terutama dari segi tuntutan vokal dan persembahan secara langsung.

Menurut Kaka Azraff, lagu tersebut tercipta secara spontan ketika mereka berada di studio Yonnyboii tanpa perancangan konsep yang terlalu ketat.

Beliau berkata, proses penulisan melodi dan lirik berlaku secara semula jadi sehingga menghasilkan sebuah lagu yang membawa emosi tentang melepaskan perkara yang membebankan hati.

Bagi Kaka, perkataan “Lepaskan” sendiri menggambarkan proses menerima dan meninggalkan perkara yang pernah menyakitkan seperti luka, dendam serta beban emosi yang terlalu lama disimpan.

Walaupun tidak sempat dimasukkan dalam album MPT, Yonnyboii melihat potensi besar pada lagu tersebut dan memilih untuk mengembangkan karya itu sebagai sebuah single baharu bersama Kaka Azraff.

Menurut Yonnyboii, lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak sepatutnya hanya menjadi salah satu lagu dalam album.

Keputusan menjadikan “Lepaskan” sebagai duet memberikan dimensi baharu kepada lagu tersebut apabila gabungan vokal kedua-dua artis berjaya memperluaskan perjalanan emosi yang ingin disampaikan.

Kaka menyifatkan kehadiran Yonnyboii dalam lagu tersebut memberikan keseimbangan dari segi emosi dan menjadikan karya itu lebih hidup.

Dari segi muzik, “Lepaskan” menampilkan pendekatan pop moden dengan sentuhan inspirasi K-pop, namun masih mengekalkan elemen identiti Melayu. Yonnyboii yang turut bertindak sebagai penulis dan komposer bersama Kaka Azraff memberi perhatian kepada melodi yang mudah diingati serta mesej yang dekat dengan pengalaman pendengar.

Lagu tersebut diterbitkan oleh Lonlioni.

Bagi Kaka, “Lepaskan” turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih terbuka dan jujur kepada pendengar.

Berbeza daripada imej persembahannya yang sering bertenaga, lagu ini memberi ruang untuk mengakui bahawa setiap manusia pernah berasa penat, terluka dan melalui detik sukar dalam kehidupan.

Menurutnya, lagu tersebut bukan tentang menunjukkan kekuatan semata-mata, tetapi tentang menerima kelemahan diri dan terus berusaha untuk bangkit.

Yonnyboii pula mengaitkan mesej lagu tersebut dengan perjalanan hidupnya sendiri, terutama dalam usaha meninggalkan kesilapan lalu, bergerak ke hadapan dan melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih positif.

Kedua-dua penyanyi berharap “Lepaskan” dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar atau masih membawa luka yang belum terluah.

Mereka percaya bahawa tidak semua perkara perlu dibawa bersama ke masa depan kerana ada perkara yang perlu diterima, dimaafkan dan akhirnya dilepaskan.

Seiring pelancaran “Lepaskan”, Yonnyboii turut mendedahkan bahawa lagu tersebut menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju album terbaharunya.

Dua lagi single telah disiapkan dan bakal diperkenalkan dalam masa terdekat sebelum pelancaran album yang membawa pengalaman muzik lebih menyeluruh kepada pendengar.

Menurut Yonnyboii, album tersebut bukan sekadar himpunan lagu, tetapi sebuah perjalanan yang ingin membawa pendengar menyelami pengalaman muzik yang lebih mendalam.

Single “Lepaskan” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.