Ungu Raikan Tiga Dekad Perjalanan Muzik Dengan Konsert Penuh Nostalgia di Kuala Lumpur

Hampir 4,000 peminat memenuhi Idea Live Arena, Kuala Lumpur bagi menyaksikan sebuah malam penuh nostalgia, emosi dan tenaga menerusi konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur”.

Konsert istimewa sempena ulang tahun ke-30 kumpulan legenda Indonesia, Ungu itu berlangsung meriah apabila para peminat bukan sahaja menikmati persembahan, malah turut menyanyi bersama hampir setiap lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Dibawakan oleh COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment, konsert tersebut memperlihatkan bahawa karya muzik Ungu masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat Malaysia walaupun selepas tiga dekad berada dalam industri muzik.

Ungu membuka persembahan dengan lagu “Cindai” yang dipopularkan oleh biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, sebelum meneruskan momentum dengan rangkaian lagu popular seperti “Cinta Gila”, “I Need You”, “Ciuman Pertama”, “Hampa Hatiku” dan “Percaya Padaku”.

Suasana kemudian berubah menjadi lebih romantik dan penuh emosi menerusi lagu seperti “Sejauh Mungkin”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, sebelum peminat kembali dibawa mengimbau kenangan melalui lagu “Gerimis Mengundang”, “Andai Ku Tahu” dan “Bila Tiba”.

Setiap persembahan membawa kembali pelbagai memori kepada para peminat, daripada kisah cinta, kehilangan, harapan sehinggalah pengalaman hidup yang pernah ditemani oleh lagu-lagu Ungu.

Antara detik paling istimewa pada malam tersebut ialah kemunculan Marsha Milan yang berkolaborasi bersama Ungu menerusi lagu “Bismillah Cinta” dan “Tercipta Untukku”.

Persembahan tersebut menerima sorakan hangat daripada penonton apabila gabungan vokal Marsha dan Ungu mencipta suasana penuh emosi serta chemistry yang tersendiri.

Marsha menyifatkan peluang berkongsi pentas bersama Ungu sempena sambutan tiga dekad kumpulan tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna.

“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang panjang dengan pelbagai cerita, cabaran dan kenangan. Melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama adalah satu perkara yang sangat kami syukuri,” kata Pasha.

Selepas segmen bersama Marsha, Ungu meneruskan persembahan dengan lagu “Utara – Selatan”, “Aku Tahu” dan “Kekasih Gelapku”.

Kemuncak malam tersebut hadir menerusi lagu “Demi Waktu” apabila seluruh Idea Live Arena bergema dengan nyanyian ribuan peminat yang menghafal setiap bait lirik lagu tersebut.

Sebagai penutup, Ungu memilih lagu “Seperti Mati Lampu” yang mengakhiri persembahan dengan suasana penuh tenaga, sorakan dan kegembiraan.

Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio berkata, sambutan luar biasa daripada peminat menjadikan konsert tersebut satu pencapaian yang amat bermakna.

Menurut beliau, matlamat utama konsert tersebut adalah untuk menghasilkan sebuah pengalaman yang bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah kenangan yang dapat dikenang oleh peminat.

Kehadiran Marsha turut memberikan warna istimewa kepada keseluruhan persembahan serta menunjukkan bagaimana muzik mampu menyatukan artis dan peminat daripada pelbagai generasi.

Selepas 30 tahun berkarya, Ungu terus membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada perjalanan, perjuangan dan keikhlasan mampu bertahan merentasi masa.

“Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan terhadap lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah hidup jutaan peminat.

Tiga dekad berlalu, namun Ungu tetap unggul dan terus bergema dalam hati peminat.