Fabio Asher Kembali ke Malaysia Menerusi The Romanticist Live in Kuala Lumpur

Fabio Fukrer Towoliu atau lebih dikenali sebagai Fabio Asher bakal kembali ke Malaysia pada 22 November 2026, hanya lima bulan selepas kunjungan terdahulunya. Kepulangannya ke negara ini menjadi bukti bahawa karya romantis dan aura emosional yang dibawakan menerusi lagu lagunya terus mendapat tempat dalam hati peminat.

Kali ini, Fabio Asher bakal menemui peminat menerusi Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur. Acara anjuran Cerita Project & Events Sdn Bhd itu dijadual bermula pada jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Konsert ini dijangka membawa suasana yang penuh estetika, puitis dan sentimental, selari dengan imej Fabio Asher yang sinonim dengan karya balada romantis serta kisah cinta yang dekat dengan kehidupan pendengar.

Lagu seperti Bertahan Terluka dan Rumah Singgah menjadi antara karya yang cukup menggambarkan kekuatan Fabio Asher dalam menyampaikan emosi mendalam menerusi muzik. Persembahan kali ini juga dijangka membawa penonton menyelami pelbagai fasa perasaan bermula daripada jatuh cinta, kerinduan, patah hati dan kenangan, sehinggalah kepada proses menerima keadaan dan penyembuhan.

Menurut Cerita Project & Events Sdn Bhd, Fabio Asher mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi karya yang dekat dengan hati pendengar walaupun setiap individu melalui pengalaman dan fasa cinta yang berbeza.

Penganjur turut menjelaskan bahawa The Romanticist bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi sebuah perjalanan emosi yang membolehkan penonton menghayati setiap lagu sambil mengimbas kembali kisah mereka sendiri.

Sebagai rakan strategik, Jiwa Kacau pula menyifatkan Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur sebagai pengalaman yang lebih daripada sekadar menonton persembahan. Konsert ini bakal menjadi ruang pertemuan antara muzik dan emosi, sekali gus memperkenalkan Fabio Asher bukan sahaja sebagai seorang penyanyi tetapi juga sebagai seorang Romanticist dan pencerita yang mengubah perasaan menjadi melodi serta kenangan menjadi lagu.

Bagi melengkapkan malam penuh romantika itu, Fabio Asher dijangka membawakan beberapa lagu popular termasuk Hati Lain Di Hatimu dan Akhir yang Manis.

Fabio Asher turut menyampaikan keterujaannya untuk bertemu semula dengan peminat Malaysia dan berkongsi lebih banyak karya serta rasa cinta menerusi persembahan tersebut.

Tiket untuk Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur ditawarkan dalam beberapa kategori. Level 1 menampilkan Fabio pada harga RM288 dan VIP pada harga RM388. Super VIP A pula ditawarkan pada harga RM1,288 untuk set berpasangan yang turut merangkumi sesi pertemuan dan ramah mesra bersama artis.

Bagi Level 2, kategori Everlast ditawarkan pada harga RM158, manakala Asher berharga RM358. Super VIP B pula berharga RM1,188 untuk set berpasangan yang turut merangkumi sesi pertemuan dan ramah mesra.

Penjualan tiket akan bermula pada 4 September 2026, jam 3 petang menerusi IlassoTickets di laman rasmi www.ilassotickets.com.

Dengan konsep yang mengetengahkan pelbagai sisi perjalanan cinta dan emosi, Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur dijangka menjadi sebuah malam yang istimewa buat peminat. Kisah cinta setiap individu mungkin berbeza, namun sebuah lagu sering menjadi ruang untuk seseorang menemukan kembali sebahagian daripada kisah dirinya sendiri.

Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 22 November 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, dengan sokongan Era FM sebagai rakan radio rasmi, Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi serta Daily Dose Coffee dan Geng Galau sebagai rakan sokongan.