Lagu “Cukup Sudah Cukup” daripada Mila Jirin mula mendapat perhatian di Indonesia apabila diputarkan di beberapa stesen radio utama negara itu termasuk Gen FM dan Prambors FM, walaupun belum dipromosikan menerusi kempen berskala besar di Malaysia.
Perkembangan tersebut memberi petanda positif kepada perjalanan baharu Mila yang kini bukan sahaja mahu membina semula momentum muziknya di Malaysia, malah mula memperkenalkan karya dan vokalnya kepada pendengar Indonesia.
Berbeza dengan single pertamanya, “Tersimpan Dalam Hati”, lagu “Cukup Sudah Cukup” tidak disertai sidang media atau acara pelancaran khas di Malaysia. Sebaliknya, lagu tersebut diedarkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia sebagai sebahagian daripada strategi memperkenalkan karya daripada album baharu Mila secara berperingkat.
Menurut Mila, perkembangan apabila lagu tersebut mula mendapat putaran di radio Indonesia amat bermakna, terutama ketika perjalanan seninya di pasaran tersebut masih berada pada peringkat awal.
“Saya sangat bersyukur apabila dimaklumkan ‘Cukup Sudah Cukup’ sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio di Indonesia termasuk Gen FM dan Prambors FM. Saya sedar perjalanan saya di Indonesia masih terlalu awal. Ramai mungkin belum mengenali siapa Mila Jirin, jadi apabila lagu dan suara saya terlebih dahulu diberikan ruang untuk didengarkan di sana, bagi saya itu satu permulaan yang sangat bermakna,” katanya.
“Cukup Sudah Cukup” merupakan hasil kolaborasi Mila bersama komposer Indonesia, Ilham Baso, manakala liriknya ditulis oleh Aisah Rizky. Keseluruhan proses produksi audio lagu tersebut dilakukan di Jakarta, merangkumi susunan muzik, rakaman vokal, pengarahan vokal, mixing dan mastering.
Kerjasama tersebut menjadi antara langkah awal Mila untuk membina jaringan kreatif di Indonesia sambil meneroka warna dan perspektif baharu bagi album yang sedang dipersiapkan.
Mila berkata kerjasama bersama Ilham Baso bermula daripada muzik dan pemahaman terhadap emosi sesebuah lagu. Perkembangan tersebut turut membuka ruang untuk beliau meneroka lebih banyak kolaborasi bersama penggiat muzik di Indonesia.
“Saya tidak mahu datang dengan cerita siapa saya di Malaysia, tetapi saya mahu pendengar di sana mengenali saya melalui lagu dan nyanyian terlebih dahulu,” katanya.
Muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” turut menjalani penggambaran sepenuhnya di Jakarta pada pertengahan Ogos lalu. Muzik video tersebut dihasilkan oleh Bizmedia Marketing bersama pasukan produksi Indonesia dan diarahkan oleh Wahyu Taufani Prialangga.
Muzik video rasmi “Cukup Sudah Cukup” mula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada 4 September jam 3 petang. Lagu tersebut turut tersedia di platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music pada hari yang sama.
Momentum Mila di Indonesia akan diteruskan apabila beliau dijadualkan memulakan siri pertama jelajah radio di Jakarta dan Bandung pada Oktober ini. Kunjungan tersebut akan menjadi platform untuk Mila bertemu stesen radio dan media tempatan, selain berkongsi mengenai lagu terbaharu serta perjalanan muziknya.
Mila berkata beliau mahu membina kehadiran di Indonesia secara konsisten dengan bertemu sendiri penggiat media dan industri muzik di sana.
“Saya tidak meletakkan sasaran untuk terus dikenali dalam masa yang singkat. Saya mahu bina perjalanan ini dengan betul. Kalau pendengar Indonesia mula mengenali Mila Jirin melalui lagu dan suara terlebih dahulu, itu sudah menjadi satu permulaan yang sangat baik untuk saya,” katanya.
“Cukup Sudah Cukup” merupakan lagu kedua daripada album baharu Mila Jirin yang dijadualkan dilancarkan pada penghujung tahun ini. Album tersebut menandakan fasa baharu perjalanan muzik Mila selepas kembali aktif dalam dunia rakaman dan bakal menghimpunkan beberapa karya serta kolaborasi melibatkan tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia.
Single pertama, “Tersimpan Dalam Hati”, sebelum ini mencatat pencapaian awal apabila menembusi Top 30 carta ERA 40. “Cukup Sudah Cukup” pula memperlihatkan perkembangan seterusnya menerusi strategi pengedaran dan promosi yang turut memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia.
Bagi Mila, usaha memperluaskan pasaran muzik ke Indonesia bukan bermakna meninggalkan Malaysia, sebaliknya membuka ruang untuk membawa karya muziknya kepada khalayak yang lebih luas di rantau ini.
“Malaysia akan sentiasa menjadi rumah saya dan tempat perjalanan seni saya bermula. Tetapi saya percaya muzik kita mempunyai ruang yang lebih luas untuk bergerak di rantau ini,” katanya.
Mila Jirin merupakan penyanyi Malaysia yang telah berkecimpung dalam industri hiburan selama lebih dua dekad. Selepas memberikan tumpuan kepada bidang keusahawanan selama beberapa tahun, Mila kini kembali aktif dalam industri muzik menerusi rangkaian karya baharu yang bakal membawa kepada pelancaran album terbaharunya pada penghujung tahun ini.
Fasa baharu perjalanan muziknya turut menyaksikan Mila memperluaskan jaringan kolaborasi bersama tenaga kreatif dari Malaysia dan Indonesia serta mula memperkenalkan karya kepada pasaran serantau.











