DPS Resources Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.25 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Jun 2026, meningkat 44.4% berbanding RM1.56 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagi Suku 1 TK2027, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM11.58 juta berbanding RM12.79 juta pada Suku 1 TK2026. Walaupun pendapatan lebih rendah, keuntungan kasar meningkat kepada RM4.00 juta daripada RM3.72 juta, manakala keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM2.25 juta berbanding RM1.56 juta sebelumnya. Pendapatan asas sesaham meningkat kepada 0.84 sen daripada 0.59 sen.
Penurunan pendapatan terutama disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, pembinaan serta penyewaan bangunan dan perkhidmatan komprehensif. Bagaimanapun, keadaan tersebut sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih kukuh daripada segmen perabot yang mencatatkan pendapatan RM8.07 juta berbanding RM0.37 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Segmen perabot turut mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM2.26 juta berbanding kerugian RM0.54 juta sebelumnya. Prestasi keseluruhan Kumpulan turut disokong oleh kawalan kos yang lebih baik dan peningkatan kecekapan operasi, yang membantu meningkatkan keuntungan kasar.
Berbanding Suku 4 TK2026, hasil DPS menurun sebanyak RM1.46 juta. Namun begitu, keuntungan kasar meningkat kepada RM4.00 juta daripada RM2.23 juta, manakala Kumpulan kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.25 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM0.75 juta pada suku sebelumnya.
Pengerusi Kumpulan dan Pengasas DPS Resources Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sow Chin Chuan, berkata peningkatan keuntungan bagi Suku 1 TK2027 mencerminkan tumpuan berterusan Kumpulan terhadap kecekapan operasi dan pengurusan kos. DPS kekal fokus untuk mengukuhkan saluran projek serta memajukan inisiatif pembangunan secara berdisiplin bagi menyokong prestasi operasi yang mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Melangkah ke hadapan, DPS kekal optimis dengan berhati hati terhadap prospek Kumpulan, termasuk usaha menggunakan semula kemudahan kilang terpilih untuk operasi pusat data serta membangunkan infrastruktur teknologi tinggi di Melaka.
Kumpulan turut meneruskan pembangunan Pusat Data dan Taman Teknologi Tinggi yang dipacu AI di Mukim Lendu, Alor Gajah, meliputi kira kira 345 ekar dengan kapasiti kuasa dicadangkan sehingga 500MW hingga 1GW. Selain itu, pusat data Bukit Rambai yang dicadangkan meliputi kira kira 20 ekar dengan kapasiti kuasa 89MW dan berpotensi diperluaskan sehingga 400MW, tertakluk kepada pertimbangan teknikal, kawal selia dan komersial.
DPS juga memperkukuhkan saluran pusat datanya melalui kerjasama strategik dengan BBSB Holdings Sdn. Bhd., Hangyue Intelligent Electrical Co., Ltd. dan CEIG (M) Sdn. Bhd., merangkumi aspek kapasiti pusat data, potensi kolokasi perusahaan China, tenaga boleh diperbaharui serta infrastruktur kuasa dan air.
Selain sektor pusat data, DPS terus memajukan portfolio pembangunan hartanahnya termasuk hab komersial Taman Bukit Rambai Putra Gateway. Melalui pelaksanaan yang berdisiplin, pengurusan kos yang berhemat dan perkongsian strategik, Kumpulan kekal fokus untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, meningkatkan keterlihatan pendapatan serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham.











