Syasya Rizal Buka Bab Baharu Dengan Single Sulung “Different”

Figura muzik muda, Syasya Rizal, secara rasmi membuka lembaran baharu dalam karier muzik solonya menerusi pelancaran single sulung bertajuk “Different”.

Lagu tersebut menjadi penanda aras penting buat Syasya yang kini tampil dengan versi diri yang lebih matang, yakin dan berdikari.

“Different” dicipta dan ditulis bersama Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel serta Syasya Rizal sendiri. Lagu ini membawakan tenaga pop yang segar tanpa menghilangkan identiti asal yang pernah memikat hati para peminatnya.

Menerusi lagu tersebut, Syasya membawa mesej pemerkasaan diri bahawa setiap individu berhak mengejar impian tanpa perlu bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain.

Menurut Syasya, inspirasi lagu ini lahir daripada keinginannya untuk memperkenalkan identiti sebenar sebagai seorang artis solo.

“Bila pertama kali masuk ke studio bersama Amirul, saya beritahu dia bahawa saya mahu buat muzik yang apabila orang dengar, mereka terus tahu, ‘Oh, ini Syasya.’ Elemen tenaga dan muzik yang orang kenal sebelum ini masih ada, cuma kali ini saya tampil dengan fasa kehidupan dan pengalaman yang baharu. Same Syasya, just a different chapter,” jelasnya.

Bagi Syasya, “Different” merupakan karya yang sangat peribadi kerana ia menterjemahkan fasa hidupnya kini yang telah berkembang menjadi seorang isteri dan ibu, di samping terus mengejar impian dalam industri muzik.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri. Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian,” katanya.

Menurut Syasya, keutamaan seseorang mungkin berubah apabila memasuki fasa kehidupan yang baharu, namun impian tidak semestinya perlu diketepikan.

“Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa anda boleh terus membesar, berubah, dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” tambahnya.

Mengulas mengenai proses pembentukan lagu ini, Syasya meluahkan rasa syukur kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan produksi yang sangat menyokong, terutama memandangkan “Different” merupakan antara pengalaman awalnya dalam penulisan lagu.

“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya. Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif,” katanya.

Menurut Syasya, semua pihak yang terlibat dalam proses tersebut mempunyai matlamat yang sama untuk menghasilkan karya terbaik, yang akhirnya membawa kepada terhasilnya “Different”.

Bercakap mengenai harapannya terhadap single tersebut, Syasya berharap “Different” dapat dinikmati oleh para pendengar dan menjadi hadiah bermakna buat peminat yang telah lama menantikan karya solonya.

“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini, menari bersama, dan memahami mesej di sebaliknya. Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya.

“Different” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.