Yes! Captain Zul Aaryan Tutup Tirai Dengan Finale Penuh Emosi

Selepas 30 episod menemani penonton dengan kisah cinta, kekeluargaan, persahabatan dan cabaran kehidupan seorang kapten, Yes! Captain Zul Aaryan akhirnya melabuhkan tirai menerusi Exclusive Meet & Greet & Finale Viewing Party yang berlangsung di Marriott Hotel, Petaling Jaya, malam semalam.

Dibawakan khas oleh Cadbury Dairy Milk Biscoff, acara tersebut menghimpunkan barisan pelakon utama, rakan media serta peminat bagi meraikan kemuncak drama yang diadaptasi daripada novel karya W.N.F Hanna, di samping menyaksikan bersama episod terakhir drama berkenaan.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama termasuk Jazmy Juma sebagai Captain Zul Aaryan, Anna Jobling sebagai Zara Andrea, Nafiz Muaz sebagai Hazwan, Daniel Fong sebagai Bahri, Natasha Sass sebagai Rania, Dina Alyssa sebagai Jasmin dan Adriana Ghaffar sebagai Salwa.

Para pelakon meluangkan masa bersama peminat serta berkongsi pengalaman dan momen menarik sepanjang menjayakan drama tersebut.

Majlis dimulakan dengan tayangan trailer finale, diikuti sesi recap yang mengimbas detik-detik penting sepanjang Yes! Captain Zul Aaryan. Sesi chit chat bersama barisan pelakon turut menceriakan acara apabila mereka berkongsi pengalaman sepanjang proses penggambaran.

Para peminat juga berpeluang berinteraksi lebih dekat bersama barisan pelakon menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan permainan sebelum acara diteruskan dengan sesi bergambar serta penyampaian hadiah kepada peminat yang mengambil bahagian.

Sepanjang tempoh siarannya, Yes! Captain Zul Aaryan turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila meraih 1.06 bilion capaian media sosial berdasarkan data Meltwater.

Drama tersebut juga mencatat 9.5 juta penonton di televisyen berdasarkan Nielsen selain menduduki kedudukan pertama sebagai drama di iQIYI.

Pencapaian tersebut memperlihatkan sambutan positif penonton terhadap perjalanan kisah Aaryan dan Andrea sepanjang 30 episod.

Dalam episod terakhir, kebahagiaan keluarga kecil Aaryan dan Andrea semakin lengkap dengan kehadiran puteri sulung mereka.

Andrea turut mengambil keputusan untuk memaafkan Jasmine dan melepaskan segala kenangan duka bagi melangkah ke fasa kehidupan baharu yang lebih tenang.

Atas dorongan berterusan daripada Aaryan, Andrea akhirnya berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Kini bergelar Dr., Andrea terus melangkah gagah sebagai sumber inspirasi buat ramai wanita.

Dengan berakhirnya episod ke-30, Yes! Captain Zul Aaryan menutup kisah Aaryan dan Andrea dengan pengakhiran yang sarat dengan emosi, kasih sayang dan pengampunan.

Acara finale tersebut turut menjadi detik istimewa buat barisan pelakon, media dan peminat yang bersama-sama meraikan kemuncak drama berkenaan.

Yes! Captain Zul Aaryan boleh distrim menerusi iQIYI. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti TV3 dan Drama Sangat menerusi platform media sosial rasmi masing-masing.