Penyanyi dan penulis lagu C-pop elektronik dari Malaysia, Priscilla Abby, bakal kembali menghiburkan peminat menerusi konsert utama baharu selepas kali terakhir mengadakan persembahan solo dua tahun lalu.
Dianjurkan oleh KXL Crossover, Priscilla Abby 19+ Malaysia Concert 2026 akan berlangsung pada 5 Disember 2026, Sabtu, jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Tajuk “19+” dipilih sebagai simbol kepada usia ketika Priscilla Abby memulakan perjalanan dalam industri muzik. Kini berusia 29 tahun, penyanyi tersebut telah melalui perjalanan selama sedekad sejak mula mendapat perhatian menerusi cover berinspirasikan EDM sebelum berkembang sebagai artis dengan karya muziknya sendiri.
Sepanjang tempoh tersebut, perjalanan muzik Priscilla Abby bukan sahaja memperlihatkan perkembangan dari segi seni, malah turut mencerminkan pertumbuhan dirinya bersama sokongan para peminat.
Membawakan tema Y2K, produksi konsert ini akan menghidupkan kembali nostalgia era milenium menerusi elemen dan kenangan daripada zaman tersebut.
Poster konsert turut menampilkan dua versi Priscilla Abby yang menggambarkan dirinya pada usia 19 dan 29 tahun. Versi pertama melambangkan permulaan perjalanan kerjayanya, manakala versi kedua mencerminkan perkembangan dan kematangan selepas sedekad berada dalam industri muzik.
Konsep tersebut turut menggambarkan bagaimana Priscilla Abby kekal setia kepada minat dan kecintaannya terhadap muzik, di samping membina keyakinan serta kematangan sepanjang perjalanan kerjayanya.
Sempena ulang tahun ke-10 dalam industri muzik, Priscilla Abby membawa semangat dan kecintaan yang sama untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan seninya.
Setiap kategori tiket untuk konsert ini turut disertakan dengan manfaat eksklusif untuk peminat.

Tiket VVIP berharga RM488 dan merangkumi sesi bergambar 1:1 untuk semua pemegang tiket, poster bertandatangan untuk 40 peminat terpilih, light stick untuk semua serta NFC keychain untuk peminat terpilih.
Tiket VIP pula berharga RM388 dan menawarkan sesi bergambar 1:6 untuk 300 peminat terpilih, poster bertandatangan untuk 30 peminat terpilih, light stick untuk semua serta NFC keychain untuk peminat terpilih.
Bagi kategori PS1 yang berharga RM288, pemegang tiket berpeluang menerima poster bertandatangan untuk 20 peminat terpilih, light stick untuk semua serta NFC keychain untuk peminat terpilih.
Kategori PS2 pula berharga RM188 dan merangkumi poster bertandatangan untuk 10 peminat terpilih, light stick untuk semua serta NFC keychain untuk peminat terpilih.
Tiket akan mula dijual pada 3 September 2026, Khamis, jam 12 tengah hari menerusi rwgenting.com, etix.my dan trip.com.
Harga tiket adalah tertakluk kepada caj dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Peminat boleh mengikuti KXL Crossover, Priscilla Abby dan Prodigee Asia Talent menerusi laman media sosial rasmi masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai konsert dan pengumuman terkini.












