KRU Entertainment memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, sebuah acara prebiu khas yang menghimpunkan barisan acara, tarikan dan penyewa utama di destinasi tersebut.
Penganjuran Temasya Aneka menandakan langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk sebagai Destinasi Gaya Hidup dan Hab Kebudayaan dengan pengisian merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.
Menurut Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, pengisian secara konsisten merupakan antara strategi utama untuk memastikan Aneka Walk sentiasa menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung.
Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung 2026, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza. Usaha ini bertujuan memastikan pengunjung mempunyai lebih banyak sebab untuk berkunjung dan kembali ke Aneka Walk.
Antara tarikan utama ialah Kayangan, sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Dato’ Chef Zam.
Persembahan sulung Kayangan yang bertajuk Hikayat Nusantara membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.
Kayangan bakal menjadi persembahan mingguan utama Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 4 September 2026. Persembahan ini turut menyasarkan masyarakat tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa sebagai produk pelancongan budaya.
Temasya Aneka turut memperkenalkan barisan penyewa terawal yang bakal memperkukuhkan penawaran gastronomi di destinasi tersebut, termasuk Kek Lapis Warisan yang mengetengahkan kek lapis sebagai produk warisan tempatan serta KRU Café yang akan membuka outlet pertamanya di Aneka Walk.

Promosi bagi 18 acara sehingga penghujung 2026 turut mendapat kerjasama Astro Audio, selain menyediakan pakej pengiklanan kepada penyewa dan pempamer menerusi rangkaian radio serta platform media sosialnya.
Antara acara yang bakal berlangsung ialah Kayangan dari 4 September hingga 27 Disember 2026, AnekaRasa “Warisan” dari 4 hingga 6 September, Rockustik dari 11 hingga 13 September dan Super Universe dari 18 hingga 20 September.
Seterusnya, Art & Bloom Market akan berlangsung dari 25 hingga 27 September, diikuti AnekaRasa “Fast & Delicious” dari 2 hingga 4 Oktober dan Freestyle dari 9 hingga 11 Oktober.
Game On! akan berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober, Explorers dari 23 hingga 25 Oktober dan Superbikes dari 30 Oktober hingga 1 November.
Pada November, pengunjung boleh menikmati AnekaRasa “Taj Mahal” dari 6 hingga 8 November, Sentral Jazz dari 13 hingga 15 November, Kids Fest dari 20 hingga 22 November serta Property+ dari 27 hingga 29 November.
Memasuki Disember, AnekaRasa “Creamilicious” akan berlangsung dari 4 hingga 6 Disember, diikuti Hallyu Jamm dari 11 hingga 13 Disember dan Hingga Ke Jannah dari 18 hingga 20 Disember. Aneka Mega Sale pula akan berlangsung dari 25 Disember 2026 hingga 3 Januari 2027 sebagai acara jualan mega penghujung tahun.
Dengan pelbagai acara yang merangkumi muzik, makanan, budaya, sukan, e-Sports, hobi, fesyen, hiburan dan aktiviti keluarga, Temasya Aneka dijangka menjadikan Aneka Walk sebagai salah satu destinasi gaya hidup dan kebudayaan yang menarik untuk dikunjungi di Shah Alam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.anekawalk.com atau mengikuti platform media sosial rasmi Aneka Walk.












