Magnum Opus ialah istilah Latin yang membawa maksud karya seni terpenting seseorang seniman dalam bidang sastera, penulisan, filem, seni halus dan muzik. Dalam konteks seorang seniman yang telah berkarya selama lima dekad, Magnum Opus M. Nasir bukan sekadar merujuk kepada sebuah karya, tetapi menjadi manifestasi keseluruhan legasi yang ditinggalkan melalui karya dan pemikirannya.
Bermula pada 1979 hingga 2026, perjalanan seni Dato’ M. Nasir telah merentasi lima dekad sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit, dengan lebih daripada 2,000 karya muzik merangkumi pelbagai genre dan generasi.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau bukan sekadar menghasilkan lagu, tetapi turut membentuk sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden. Karya-karyanya menjadi suara kepada pelbagai zaman, manakala pemikiran dan pendekatan kreatifnya terus mempengaruhi perkembangan muzik tanah air.
Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu, iaitu Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017 di Matic dan Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019 di Auditorium DBKL.

Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Magnum Opus kembali dengan sebuah persembahan yang menelusuri lima dekad penciptaan, perubahan zaman serta evolusi pemikiran dan muzik Dato’ M. Nasir.
Kelainan utama produksi kali ini terletak pada pementasan semula 30 karya ikonik Dato’ M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan. Karya-karya tersebut akan diberi nafas baharu menerusi susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie.
Dalam persembahan berdurasi kira-kira 150 minit, vokal dan tenaga pentas Dato’ M. Nasir akan digabungkan dengan kekuatan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Encik Eric Lee Yin Fah.
Gabungan tersebut bakal menghasilkan pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik dan emosional, di samping memberikan perspektif baharu terhadap karya-karya yang telah dikenali dan dekat dengan masyarakat selama beberapa dekad.
Setiap karya yang dipilih mewakili era serta fasa penting dalam perjalanan seni Dato’ M. Nasir, membolehkan penonton menelusuri evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau dalam sebuah pengalaman yang dirangka khusus untuk pentas simfoni.
Dari sudut artistik, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 mengangkat pendekatan surrealisme yang disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme, selari dengan karakter seni Dato’ M. Nasir yang terkenal dengan karya-karya puitis, imaginatif dan berlapis makna.
Pendekatan tersebut membentuk bahasa visual persembahan serta pengalaman keseluruhan konsert, mengajak penonton melihat karya-karya Dato’ M. Nasir bukan semata-mata sebagai lagu, tetapi sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman.
Ismail Shariff merupakan pencetus idea asal Magnum Opus yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah siri persembahan dalam meraikan karya dan perjalanan seni Dato’ M. Nasir.
Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Shabromo menerajui produksi sebagai Pengarah Konsert dan Artistik, manakala Keon Omar bertindak sebagai Penerbit Eksekutif konsert.
Penganjuran konsert ini diharap dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik dan pencipta muda untuk mengenali serta menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air.
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya juga amat bertepatan dengan karakter dan skala produksi ini, khususnya dalam mempertemukan seni persembahan pentas dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni dalam ruang yang sinonim dengan persembahan seni bertaraf tinggi.
Sepanjang perjalanan seninya, Dato’ M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.
Namun, legasi seorang seniman tidak hanya terletak pada jumlah karya atau deretan anugerah yang diterima. Nilai sebenar legasi Dato’ M. Nasir terletak pada karya-karya yang terus didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan, tetapi sebagai apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air. Persembahan ini menjadi manifestasi keraian terhadap perjalanan seorang seniman dan usaha untuk mempertemukan warisan muzik lima dekad dengan generasi masa kini.
Program sampingan turut akan diadakan di ruang legar Istana Budaya, termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku mengenai karya muzik M. Nasir.
Konsert ini mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures, manakala Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik.
Tiket konsert MOMND5 akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026, jam 3.00 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.
Harga tiket konsert MOMND5 ditawarkan dalam beberapa kategori. Bagi kawasan Stalls, tiket Kategori A berharga RM1,588, Kategori B RM1,188, Kategori C RM988 dan Kategori D RM838. Bagi kawasan Grand Circle pula, tiket Kategori E berharga RM638 dan Kategori F RM538, manakala kawasan Upper Circle menawarkan Kategori G pada harga RM338 dan Kategori H pada harga RM288.
Harga tiket bermula daripada RM288 hingga RM1,588. Para peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ilassotickets.com bermula jam 3.00 petang pada 21 Ogos 2026.
Luncai Emas Sdn. Bhd. bersama seluruh rakan kerjasama menjemput para peminat muzik, penggiat seni, rakan media, rakan strategik dan masyarakat umum untuk bersama-sama menjadi saksi kepada sebuah detik istimewa apabila lima dekad perjalanan seorang seniman diterjemahkan melalui muzik, puisi, falsafah dan bunyi simfoni.
Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 akan berlangsung pada 5 Disember 2026, Sabtu, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Lima dekad. 30 karya. Satu Magnum Opus.











