Konsert Malam Qolbu Satukan Seni, Dakwah dan Selawat

Dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan dipenuhi hiburan tanpa batas, sebuah inisiatif istimewa bakal menghimpunkan masyarakat dalam satu malam yang sarat dengan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Konsert Malam Qolbu akan berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Penganjuran tersebut bukan sekadar menawarkan persembahan muzik Islamik, tetapi turut membawa tanggungjawab untuk mengajak masyarakat kembali mengingati Nabi Muhammad SAW.

Menurut wakil penganjur, idea penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kecintaan kepada Rasulullah SAW yang diterjemahkan melalui platform dekat dengan masyarakat masa kini.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini.

“Menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberikan peluang untuk menganjurkan majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika mendapat keredaan Allah dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu sesuatu yang amat bernilai buat kami,” katanya.

Penganjur turut menyeru masyarakat melihat kehadiran ke konsert tersebut sebagai satu bentuk pelaburan untuk akhirat.

Acara berkenaan juga diharapkan menjadi ruang kepada pengunjung untuk mengisi jiwa dengan perkara yang membawa manfaat.

“Dalam kehidupan, kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun, sesekali marilah kita melabur untuk saham akhirat.

“Setiap selawat, doa, ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal berpanjangan serta memberikan ganjaran berlipat ganda,” katanya.

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, Konsert Malam Qolbu akan menampilkan persembahan daripada Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan.

Persembahan akan disusun menerusi penceritaan yang menyentuh jiwa, bermula dengan Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya.

Acara itu turut menampilkan segmen Interlude Pantomim dan Visual Poetry sebelum ditutup dengan alunan Selawat Nabi.

Segmen penutup tersebut akan menyatukan seluruh hadirin dalam semangat ukhuwah dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu dapat membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di Malaysia.

Acara tersebut juga diharap membuktikan bahawa program berteraskan dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia, termasuk generasi muda.

Menurut penganjur, program dan konsert Islamik di Indonesia mampu mendapat sambutan luar biasa sehingga disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Pihaknya percaya Malaysia turut mempunyai masyarakat yang mendambakan pengisian seperti itu.

“Anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” katanya.

Sebagai penganjuran sulung, Konsert Malam Qolbu diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menghubungkan masyarakat dengan nilai Islam melalui pendekatan seni.

Pendekatan itu diharap dapat mendidik, menyentuh hati dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, selain menggalakkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Konsert tersebut mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik bertindak sebagai rakan media digital.

Royal Chulan The Curve pula menjadi penaja hotel rasmi.

Urusan penjualan tiket dikendalikan oleh Ticketmelon dan Fantopia dengan harga antara RM250 hingga RM350.

Harga tiket khas untuk pelajar turut disediakan melalui laman web Ticketmelon dan Fantopia.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dengan Aftermusic Project serta kerjasama strategik Laskar Entertainment.

Gabungan ketiga-tiga pihak itu bertujuan merealisasikan sebuah acara yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi membawa mesej dakwah, kerohanian dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Duyufurrahman turut diperkuat oleh barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang haji dan umrah.

Antaranya ialah Mualim Muda Anas, juara Mualim Muda musim pertama dan Mualim Muda Ashraf yang merupakan finalis program berkenaan.

Kedua-duanya membawa pendekatan lebih dekat dan berjiwa pendakwah dalam setiap inisiatif syarikat.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman web Ticketmelon dan Fantopia.