Edisi kedua Latihan Pestapora Malaysia 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh warna selepas berlangsung selama 12 jam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026.
Festival tersebut menghimpunkan peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah perayaan muzik serantau yang meriah.
Dianjurkan bersama oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, Latihan Pestapora Malaysia kembali dengan skala serta pengalaman lebih menyeluruh menerusi persembahan 19 artis.

Pelbagai genre dipersembahkan sepanjang festival, termasuk pop, rock, indie, ska, R&B dan muzik nostalgia.
Lebih daripada sekadar festival, edisi kali ini terus memperkukuh peranan Latihan Pestapora Malaysia sebagai platform yang menemukan artis, peminat dan budaya muzik Malaysia serta Indonesia dalam satu ruang.
Antara momen yang paling dinantikan ialah penampilan sulung kumpulan pop-punk alternatif Indonesia, Last Child, di Malaysia.
Kumpulan itu menerima sambutan hangat daripada peminat menerusi rangkaian lagu popular seperti Duka, Seluruh Nafas Ini dan Sekuat Hatimu.
Nyanyian bersama penonton menjadi antara detik paling berkesan sepanjang festival berkenaan.
Penampilan Last Child turut mencerminkan kekuatan hubungan muzik rentas sempadan apabila karya dari Indonesia terus mendapat tempat istimewa dalam kalangan pendengar Malaysia.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 menghimpunkan gabungan artis popular, nama berpengalaman dan bakat generasi baharu dari kedua-dua negara.
Antara artis yang memeriahkan pentas ialah Tulus, Tipe-X, Ruffedge, Romantic Echoes, Mahalini, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Disko Santan & Friends dan Bernadya.
Kepelbagaian barisan artis memberikan pengalaman muzik dinamik sepanjang hari dengan setiap persembahan membawa identiti dan kelompok peminat tersendiri.
Tiga persembahan kolaborasi khas yang dirancang khusus untuk festival berkenaan turut menjadi antara tarikan utama.
Kolaborasi tersebut membariskan Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, Nadhif Basalamah bersama Aziz Harun dan Aisha Retno serta Masdo bersama Gerhana Skacinta.
Gabungan artis daripada generasi, genre dan latar muzik berbeza itu menjadi antara momen unik festival.
Persembahan tersebut memperlihatkan bagaimana muzik Malaysia dan Indonesia boleh digabungkan dalam interpretasi baharu di atas satu pentas.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, penganjuran edisi kedua membawa makna penting dalam usaha membina sebuah festival serantau yang mampu berkembang bersama artis dan peminatnya.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan kepada Latihan Pestapora Malaysia.
“Apa yang paling penting bagi kami adalah melihat bagaimana muzik mampu membawa peminat dari Malaysia dan Indonesia bersama-sama dalam satu pengalaman yang sama,” katanya.
Menurutnya, kerjasama bersama Boss Creator terus memberikan ruang kepada pihaknya untuk meneroka lebih banyak idea, kolaborasi dan peluang baharu untuk artis dari kedua-dua negara.
“Kami berharap hubungan ini akan terus berkembang dan membolehkan kami menghadirkan pengalaman yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, setiap penganjuran merupakan proses pembelajaran untuk pasukan terbabit membina pengalaman festival yang lebih baik.
“Kami mengambil serius setiap maklum balas yang diberikan selepas edisi pertama dan cuba menerapkannya dalam perancangan tahun ini.
“Bagi kami, festival bukan hanya mengenai siapa yang berada di atas pentas, tetapi keseluruhan perjalanan peminat sejak mereka tiba sehingga persembahan terakhir tamat,” katanya.
Beliau mengakui masih terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki dan setiap pandangan peminat akan menjadi sebahagian daripada proses menambah baik penganjuran pada edisi akan datang.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup pula berkata, sambutan terhadap Latihan Pestapora Malaysia memperlihatkan hubungan kukuh antara komuniti muzik kedua-dua negara.
“Kami sentiasa senang dapat kembali ke Malaysia dan melihat bagaimana peminat di sini menerima artis Indonesia dengan begitu baik.
“Pada masa sama, Latihan Pestapora turut membuka peluang untuk kami membawa artis Malaysia lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia,” katanya.
Menurut beliau, kolaborasi merupakan antara elemen yang boleh terus dikembangkan kerana pertemuan antara artis mampu menghasilkan sesuatu yang baharu.
Pihaknya berharap dapat terus membina jambatan antara ekosistem muzik Malaysia dan Indonesia menerusi Pestapora.
Selain persembahan muzik, pengunjung turut menikmati pengalaman festival menerusi lebih 20 vendor makanan dan minuman, ruang bergambar interaktif serta zon Music is Universal di Universal Music Corner.
Keseluruhan ruang festival direka supaya pengunjung dapat menikmati acara bukan sahaja menerusi persembahan pentas, tetapi juga melalui aktiviti, interaksi komuniti dan pengalaman bersama rakan-rakan.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator dengan kerjasama beberapa rakan strategik.
Perbadanan Stadium Malaysia bertindak sebagai rakan lokasi, Warrior sebagai rakan minuman, Sunway Putra Hotel sebagai rakan hotel, Malaysia Airlines sebagai rakan perjalanan dan D’Mart Travel & Tours sebagai rakan pengangkutan.
ERA FM, HITZ FM, MIX FM, SINAR FM dan THR GEGAR pula bertindak sebagai rakan radio, manakala Astro Gempak, MeleTOP, World of Buzz dan KL Foodie menjadi rakan media.
Penganjuran festival itu turut menerima sokongan Visit Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai perayaan muzik serantau yang menyatukan Malaysia dan Indonesia.










