Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia Diperkenalkan

Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan penggiat industri kopi Asia menerusi penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027.

Kedua-dua acara itu diperkenalkan sebagai wadah baharu untuk memperluas jaringan perniagaan, perkongsian ilmu dan peluang kerjasama dalam industri kopi.

Pelancarannya berlangsung di Pavilion Damansara Heights dengan menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik dan peminat kopi.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kung Suan Ai.

Mohd Amirul berkata, perkembangan budaya kopi tempatan merupakan sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mampu memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung.

Menurutnya, budaya kopi tempatan mempunyai keunikan tersendiri, bermula daripada tradisi kedai kopi dan kopitiam sehingga perkembangan pesat industri kopi khusus.

“Budaya kopi di Malaysia mencerminkan kepelbagaian, kreativiti dan keramahan masyarakat kita.

“Daripada kopi O, kopi C dan kopi tarik yang menjadi kegemaran ramai hinggalah kemunculan kafe moden yang menawarkan pelbagai jenis kopi dan adunan kreatif, semuanya melambangkan evolusi budaya kopi negara,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan tersebut memberikan peluang kepada pelawat untuk mengenali Malaysia daripada sudut berbeza.

Pengalaman berkenaan bukan sahaja melibatkan lokasi dan tarikan pelancongan, tetapi turut merangkumi makanan, minuman serta perniagaan tempatan.

“Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia dapat membawa kisah kopi Malaysia ke peringkat lebih luas.

“Ia juga dapat menghubungkan pemain industri tempatan dengan rangkaian pelancongan dan perniagaan antarabangsa,” katanya.

Satu Memorandum Persefahaman antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dengan Asia Specialty Coffee Association yang berpangkalan di Korea Selatan turut dimeterai pada majlis tersebut.

Kerjasama berkenaan bertujuan menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 di Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak itu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 April 2027 serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027.

Penyertaan dijangka melibatkan pengeluar dan pemanggang kopi, pengusaha kafe, usahawan serta profesional industri dari seluruh Asia.

Selain menjadi medan pertukaran pengetahuan dan kepakaran, acara berkenaan dijangka membuka lebih banyak ruang kepada pemain industri untuk membina hubungan perniagaan serta meneroka peluang kerjasama pada peringkat serantau.

Antara acara kemuncaknya ialah Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia yang dijadualkan berlangsung pada malam 3 April 2027.

Anugerah tersebut akan memberikan pengiktirafan kepada kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri kopi.

Sebelum itu, Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan berlangsung dari 6 hingga 9 November 2026.

Festival berkenaan memberikan peluang kepada orang ramai serta pengunjung dari dalam dan luar negara untuk menikmati kepelbagaian budaya kopi Malaysia.

Acara tersebut akan mengetengahkan perjalanan industri kopi tempatan, daripada warisan kopi tradisional hingga perkembangan kopi khusus yang semakin mendapat perhatian pengguna dan pengusaha.

Penganjuran kedua-dua acara itu turut dilihat mempunyai potensi besar terhadap sektor pelancongan.

Pengalaman berkaitan makanan dan minuman kini menjadi antara elemen yang menarik minat pelawat untuk mengenali sesebuah destinasi.

Dengan kepelbagaian sajian, minuman dan gaya hidup bandar, Kuala Lumpur serta Selangor mempunyai kelebihan untuk menawarkan pengalaman gastronomi lebih luas, termasuk menerusi budaya kopi yang semakin berkembang.

Kesan ekonomi daripada penganjuran acara tersebut juga dijangka melibatkan sektor lain yang berkait rapat dengan aktiviti pelancongan dan perniagaan.

Antaranya termasuk sektor perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan.

Laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut dilancarkan pada majlis berkenaan bagi membolehkan pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat tentang program serta peluang penyertaan.

Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 membuka lembaran baharu kepada industri kopi tempatan.

Kuala Lumpur berpeluang menjadi titik pertemuan antara pengusaha Malaysia dengan komuniti kopi dari seluruh Asia.

Inisiatif itu turut mengangkat kopi bukan sekadar sebagai minuman harian, tetapi sebagai sebahagian daripada budaya, pengalaman pelancongan dan jaringan ekonomi yang mampu menghubungkan Malaysia dengan pasaran serantau.