Konsert Kelate KL 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Natriya Enterprise selaku penganjur utama dengan kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment.
Menurut pihak penganjur, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan dan memerlukan pertimbangan serta penyelarasan lanjut.
Langkah itu juga bertujuan memastikan keseluruhan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya apabila konsert tersebut diteruskan kelak.
Penganjur memahami bahawa penangguhan berkenaan mungkin menimbulkan kesulitan kepada peminat yang telah membuat perancangan awal untuk menghadiri konsert tersebut.
Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul serta menghargai kesabaran, pemahaman dan sokongan berterusan daripada semua peminat.
Tarikh baharu Konsert Kelate KL 2026 akan diumumkan selepas semua proses penyelarasan berkaitan dimuktamadkan.
Pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat menerusi saluran komunikasi rasmi penganjur sebaik sahaja keputusan berhubung tarikh baharu disahkan.
Bagi pemegang tiket yang telah membuat pembelian melalui platform Ilasso, pihak penganjur akan menyediakan proses pemulangan wang.
Maklumat lanjut mengenai kaedah dan tempoh pemulangan wang akan diumumkan menerusi saluran rasmi penganjur serta platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.
Pemegang tiket dinasihatkan supaya menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi memudahkan proses tersebut.
Konsert Kelate KL 2026 diwujudkan sebagai platform untuk meraikan muzik, budaya dan identiti Kelantan di Kuala Lumpur menerusi semangat “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate”.
Konsep acara itu turut mengetengahkan elemen warisan Kelantan seperti Dikir Barat dan Wayang Kulit sebagai sebahagian daripada pengalaman yang ingin dibawakan kepada peminat.
Pihak penganjur percaya penangguhan tersebut merupakan langkah terbaik bagi memastikan semua perancangan dapat disusun semula dengan lebih teratur sebelum acara diteruskan pada tarikh baharu.
Natriya Enterprise bersama Ikarl Project dan Irama Entertainment turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat, rakan strategik, penaja, rakan media, pihak venue, pasukan produksi dan semua pihak yang telah menyokong perjalanan Konsert Kelate KL 2026.
Penghargaan turut diberikan kepada Sony Music Malaysia dan Sentuhan Records selaku rakan strategik serta Molek FM sebagai radio rasmi acara.
Pihak penganjur berharap para peminat akan terus memberikan sokongan dan menantikan pengumuman tarikh baharu Konsert Kelate KL 2026.
Semangat “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate” akan terus dibawa apabila konsert tersebut kembali pada tarikh yang akan diumumkan kelak.











