Astro melancarkan sambutan ulang tahunnya yang ke-30 dengan menawarkan pelbagai kandungan, ganjaran dan pengalaman istimewa kepada pelanggan.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan rakyat Malaysia, sambutan itu membawakan akses percuma kepada semua saluran Astro, dua saluran khas, akses Astro X3 melalui TV pintar, saluran tambahan untuk pelanggan NJOI serta pelbagai kempen dan aktiviti lapangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, syarikat itu menghargai jutaan rakyat Malaysia yang telah menjadikan Astro sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Sepanjang tiga dekad lalu, kami amat berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media dan hiburan negara.
“Kami juga terus berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia menerusi pelbagai cerita, hiburan, pendidikan dan pengalaman yang dikongsi bersama,” katanya.
Menurutnya, sokongan masyarakat membantu Astro terus meneroka dan melahirkan bakat baharu sambil membawakan kisah yang mencerminkan keunikan serta kepelbagaian Malaysia.
Astro turut menyifatkan kedudukannya sebagai pencipta kandungan nombor satu di Malaysia sebagai hasil kepercayaan masyarakat, komitmen warga kerja, rakan kerjasama dan barisan bakat.
Seiring perkembangan landskap media, syarikat itu akan terus memberikan tumpuan kepada usaha mengangkat kisah Malaysia, memupuk bakat generasi baharu dan mencipta pengalaman yang mampu menyatukan rakyat.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun dan Hari Kebangsaan, pelanggan akan menikmati pelbagai ganjaran istimewa, kandungan tambahan dan pengalaman eksklusif dari Ogos hingga Disember 2026.
Bermula 15 Ogos hingga 16 September 2026, semua pelanggan Astro akan menerima akses kepada semua saluran Astro.
Pelanggan juga boleh menikmati dua saluran khas, iaitu Astro 30 di Saluran 100 dan Aniplus di Saluran 120.
Astro 30 akan tersedia dari 15 Ogos hingga 31 Oktober 2026 dengan menampilkan filem antarabangsa, filem blockbuster, konsert dan program kegemaran ramai.
Antara kandungan yang ditawarkan ialah kesemua lapan filem Spider-Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun dan BTS: Love Yourself in New York Concert Film.
Saluran tersebut turut menyiarkan How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026, edisi terbaharu Tom Tom Bak dan lima telefilem istimewa.
Aniplus pula akan tersedia dari 15 Ogos hingga 31 Disember 2026 dengan menawarkan beberapa siri anime baharu dan popular dari Jepun.
Antara siri yang ditawarkan ialah Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs dan Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.
Pelanggan Astro turut menerima akses kepada Astro X3 yang baharu dilancarkan untuk peranti TV pintar.
Kemudahan tersebut membolehkan pelanggan menstrim kandungan secara terus melalui aplikasi Astro tanpa perlu menggunakan dekoder.
Pelanggan NJOI pula akan menikmati Astro Prima di Saluran 105, Astro Oasis di Saluran 106, Astro AEC di Saluran 306 dan Stadium Astro di Saluran 802 secara percuma mulai 13 Ogos 2026.
Penambahan tersebut menjadikan jumlah saluran percuma yang boleh dinikmati pelanggan NJOI sebanyak 26 saluran.
Astro Audio turut membawa sambutan itu kepada masyarakat di seluruh negara menerusi KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara.
Inisiatif tersebut menggabungkan kesemua 13 jenama Astro Audio di bawah satu bumbung bagi menjayakan siaran langsung di luar konti.
KITA FM akan membawakan jelajah bas, sesi ramah mesra dan pengalaman interaktif.
Program itu bermula pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya sebelum berakhir di Kuching, Sarawak pada 16 September 2026.
Sempena Hari Malaysia, KITA FM turut menganjurkan Larian 63 Kilometer yang menghimpunkan penyampai radio dalam usaha mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records.
Lagu tema berbilang bahasa berjudul KITA juga akan dilancarkan menerusi semua platform penstriman.
MY FM Big Show pula akan kembali pada 17 Oktober 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Acara tersebut akan menghimpunkan penyampai MY FM bersama barisan bintang tempatan dan antarabangsa.
Pelanggan Astro turut berpeluang menikmati diskaun dan tiket percuma untuk ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza dan Konsert KITA Countdown.
Tawaran lain termasuk akses lorong pantas untuk sesi ramah mesra di acara Home of Kids serta peluang menghadiri acara sukan seperti Sepak Takraw League dan Sultan Azlan Shah Cup.
Sambutan ulang tahun itu akan diteruskan dengan Astro 30th Anniversary Showcase pada 23 Ogos 2026 di pintu masuk utama Pavilion Kuala Lumpur.
Acara tersebut menampilkan barisan bintang terkenal dan bakat baharu seperti Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz.
Peminat turut berpeluang bertemu beberapa bintang Talk To My Manager 2, termasuk Cik B, Azeva dan Amarra, selain pemenang Big Stage Rocketfuel dan Big Stage Tamil.
Penonton juga boleh bertemu pelakon daripada drama Cina Wolong: The Mastermind, siri Tamil Visham dan Mounam Pesiyadhe serta prekuel Project: High Council berjudul Kudrat.
Acara tersebut turut menampilkan Terbang, sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah benar pelumba rali legenda negara, Karamjit Singh.
Pelanggan Astro terpilih berpeluang menyaksikan acara berkenaan dari Zon VIP Rock eksklusif yang membawa mereka lebih dekat dengan bintang kegemaran.
Sempena ulang tahunnya yang ke-30, Astro merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan sepanjang tiga dekad perjalanannya.
Astro akan terus komited untuk membawakan kandungan berkualiti dan pengalaman menarik kepada penonton pada masa hadapan.
Semua tawaran dan pengalaman eksklusif tertakluk pada terma dan syarat.













