Perjalanan Anom Suraya daripada karya novel ke layar skrin bakal menemui penghujungnya apabila TV3 menganjurkan Pelancaran Novel dan Finale Viewing Party Drama Anom Suraya.
Acara istimewa itu menghimpunkan penulis asal, barisan pelakon dan rakan media bagi meraikan perjalanan karya tersebut daripada novel sehingga diadaptasi sebagai drama bersiri.
Majlis berkenaan turut memberi peluang kepada tetamu jemputan dan rakan media menyaksikan Episod 12 dan 13 lebih awal sebelum drama tersebut melabuhkan tirainya.

Penulis asal novel Anom Suraya, Dr Samsiah Mohd Nor hadir bersama barisan pelakon utama, Daiyan Trisha dan Idris Khan, bagi memeriahkan majlis berkenaan.
Acara itu turut menampilkan persembahan akustik istimewa oleh Daiyan Trisha, sesi bacaan petikan novel oleh Dr Samsiah, sesi tandatangan buku dan ramah mesra bersama barisan pelakon.
Bagi Daiyan yang menghidupkan watak Anom, peluang menjayakan adaptasi sebuah karya yang begitu dekat dengan peminat merupakan pengalaman yang cukup bermakna, khususnya apabila perjalanan cerita berkenaan kini tiba di penghujungnya.
“Saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan Anom Suraya, daripada membaca kisah ini sebagai sebuah novel sehinggalah diberi peluang untuk menghidupkan watak Anom di layar skrin.
“Sokongan penonton sepanjang drama ini disiarkan juga sangat bermakna buat saya dan seluruh pasukan. Saya harap penonton akan menikmati penghujung kisah ini dan membawa bersama segala emosi serta kenangan yang telah kita lalui bersama Anom,” katanya.
Dua episod terakhir Anom Suraya menyaksikan konflik emosi Anom yang dilakonkan oleh Daiyan Trisha semakin meruncing apabila Bakhtiar lakonan Idris Khan dan Badrol yang dimainkan oleh Yusuf Bahrin masing-masing menuntut tempat dalam hatinya.
Anom kemudiannya pulang ke kampung untuk memulangkan cincin Bakhtiar demi menjaga hati Puan Raden dan Badrol. Namun, ketika Badrol menyangka dirinya telah memenangi hati Anom, Bakhtiar pula memilih untuk menghilangkan diri.
Situasi kembali berubah apabila kemunculan seorang lelaki misteri di pantai pada penghujung cerita mencetuskan persoalan baharu.
Kemunculan tersebut meninggalkan tanda tanya mengenai siapakah yang akhirnya akan mendapat tempat di hati Anom.
Acara itu bukan sahaja menandakan penutup perjalanan drama bersiri berkenaan, malah turut memberikan ruang untuk karya asal Anom Suraya kembali diraikan melalui pelancaran novel khas.
Pelancaran tersebut menghubungkan semula kisah yang pertama kali diperkenalkan kepada pembaca dengan versi adaptasinya di layar skrin.
Penonton boleh menyaksikan episod baharu Anom Suraya 24 jam lebih awal menerusi Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram menerusi @TV3Malaysia serta akaun Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.












