Toyo Tires Lancar Manifesto “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun”

Toyo Tires secara rasmi melancarkan manifesto jenama terbaharunya, “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun”, yang menggabungkan kebanggaan sektor pembuatan tempatan dengan ketepatan kejuruteraan Jepun dalam menghasilkan tayar berkualiti tinggi pada harga yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Dilancarkan di Hotel Sunway Resort, manifesto tersebut mencerminkan komitmen berterusan Toyo Tires dalam membangunkan industri automotif negara menerusi kepakaran tenaga kerja tempatan, pemahaman terhadap keadaan jalan raya di Malaysia serta warisan inovasi Jepun yang telah dibina sejak lebih lapan dekad lalu.

Komponen “Buatan Malaysia” digerakkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan di kilang Toyo Tires di Taiping. Setiap tayar yang dihasilkan melambangkan dedikasi rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang bersama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan peluang pekerjaan tempatan.

Sementara itu, “Keunggulan Jepun” menampilkan warisan kejuruteraan Toyo Tires yang bermula di Osaka pada tahun 1945. Dengan mengaplikasikan teknologi kejuruteraan berketepatan tinggi serta falsafah Kaizen atau penambahbaikan berterusan, setiap tayar dihasilkan mengikut piawaian keselamatan dan ketahanan yang tinggi.

Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Tan Song Chye berkata, Toyo Tires merupakan satu-satunya pengeluar tayar di Malaysia yang menggabungkan kemahiran tenaga kerja tempatan dengan ketepatan kejuruteraan Jepun bagi menghasilkan produk bertaraf premium.

Dalam usaha memperkukuh operasi pembuatan masa hadapan, kilang Toyo Tires di Taiping kini sedang melaksanakan transformasi Intelligent Manufacturing Transformation (IMX) bagi mewujudkan ekosistem pengilangan yang lebih pintar, cekap dan mampan.

Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Malaysia, Mike Toh berkata, transformasi tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi moden, malah memperkasakan tenaga kerja bagi memastikan masa depan mobiliti terus berkembang seiring inovasi industri.

Bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan rakan niaga, Toyo Tires turut memperkenalkan dua platform digital baharu iaitu aplikasi T CARE dan platform e TEN.

Aplikasi T CARE membolehkan pengguna mendaftarkan tayar, menikmati tawaran cashback Touch ‘n Go eWallet sehingga RM40 untuk pembelian pertama serta menerima perlindungan jaminan tayar selama enam tahun bermula dari tarikh pembelian.

Sementara itu, platform e TEN direka khusus untuk rakan niaga dengan menyediakan kemudahan pesanan dalam talian selama 24 jam, pemprosesan inventori yang lebih pantas dan operasi perniagaan yang lebih cekap.

Menurut Tan Song Chye, produk yang berkualiti perlu disokong dengan pengalaman pelanggan yang cemerlang. Beliau berkata, Toyo Tires komited untuk terus menjaga kebajikan pengguna selepas pembelian serta menyediakan penyelesaian digital yang membantu rakan niaga mengembangkan perniagaan mereka.

Selain memperkenalkan inovasi produk dan teknologi, Toyo Tires turut mengumumkan inisiatif Komuniti PRIHATIN TOYO sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Menerusi program tersebut, Toyo Tires menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima NSTP, Yayasan MyKasih dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan, kebajikan makanan, pendidikan serta pemberdayaan komuniti orang kurang upaya penglihatan.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, Toyo Tires turut memperkenalkan Promosi Merdeka yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026. Pelanggan yang membeli empat tayar terpilih berpeluang menikmati ganjaran bernilai lebih RM500 termasuk cashback eWallet dan hadiah eksklusif Thermos, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pelancaran manifesto “Buatan Malaysia, Keunggulan Jepun” membuktikan komitmen Toyo Tires dalam menggabungkan inovasi global, kepakaran tempatan dan pembangunan mampan bagi terus menyokong industri automotif Malaysia.