Ratusan Peminat Meriahkan Tayangan Perdana Eksklusif BLEACH: Thousand-Year Blood War – The Calamity Anjuran Tonton

Suasana di GSC LaLaport pada 19 Julai lalu bertukar meriah apabila ratusan peminat anime dari seluruh negara berkumpul bagi menghadiri tayangan perdana eksklusif BLEACH: Thousand-Year Blood War – The Calamity yang dianjurkan oleh Tonton.

Acara istimewa ini memberikan peluang kepada para peminat untuk menjadi antara yang terawal menyaksikan tiga episod pertama siri yang paling dinanti-nantikan itu sebelum tayangan rasmi secara simulcast di Tonton bermula pada 25 Julai ini.

Seawal petang lagi, para peminat mula memenuhi lokasi acara dengan penuh semangat. Ada yang tampil menggayakan kostum watak kegemaran daripada siri BLEACH, bergambar di ruang fotografi khas dan berkongsi keterujaan mereka di media sosial menggunakan tanda pagar #TontonxBleach dan #BleachOnTonton.

Sorakan dan tepukan bergema di dalam pawagam sebaik sahaja tayangan bermula, sekali gus membuktikan francais anime ikonik BLEACH masih mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kalangan peminat di Malaysia.

Tayangan eksklusif ini merupakan ganjaran istimewa buat pelanggan TontonUp yang berjaya menebus pas tayangan menerusi Tonton Rewards. Inisiatif tersebut memberi peluang kepada mereka menikmati pengalaman eksklusif menyaksikan permulaan pertempuran terakhir Ichigo Kurosaki menentang Yhwach di layar perak lebih awal daripada penonton lain.

Kemeriahan acara turut diteruskan dengan pertandingan cosplay yang menyaksikan para peserta memperagakan pelbagai karakter popular daripada siri BLEACH. Azlin Darwinny Binti Mohd Amir berjaya memukau barisan juri sekali gus dinobatkan sebagai Best Female Cosplayer dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500.

Bagi peminat yang tidak berpeluang menghadiri tayangan perdana ini, BLEACH: Thousand-Year Blood War – The Calamity akan mula distrim secara simulcast di Tonton serentak dengan siaran di Jepun bermula 25 Julai 2026. Siri ini akan disiarkan setiap Sabtu jam 11.00 malam, membolehkan peminat di Malaysia mengikuti perkembangan kisah epik Ichigo Kurosaki bersama jutaan penonton di seluruh dunia.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti babak baharu peperangan yang penuh aksi, emosi dan pengorbanan dalam BLEACH: Thousand-Year Blood War – The Calamity, hanya di Tonton.