Mariam Saim Kembali Dengan ‘Sedikit Cahaya’, OST Drama Neraka Yang Terhijab

Selepas berjaya mencuri perhatian menerusi pelbagai karya beremosi seperti Bulan, Puaskah dan lagu ciptaan peribadinya Cinta Gila, penyanyi dan komposer berbakat Mariam Saim kembali mengukuhkan perjalanan seninya menerusi single terbaharu berjudul Sedikit Cahaya.

Diterbitkan di bawah Alternate Records & Talents, lagu ini turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama Tonton Originals, Neraka Yang Terhijab.

Dicipta oleh komposer dan penulis lirik terkenal John Jeeves bersama Firdaus Rahmat, Sedikit Cahaya mengetengahkan kisah penuh emosi yang selari dengan perjalanan watak heroin dalam drama tersebut. Lagu ini mengisahkan tentang seorang wanita yang berdepan pelbagai ujian hidup, dikhianati, terluka dan kehilangan arah, namun tetap berusaha mencari secebis harapan untuk meneruskan kehidupan.

Menurut Mariam, beliau benar-benar menghayati lagu tersebut dengan membayangkan dirinya sebagai watak utama yang sedang melalui pelbagai kegelapan hidup.

“Bila saya hayati lagu ini, saya membayangkan diri saya sebagai watak heroin yang melalui pelbagai kegelapan. Menepati dengan tajuknya ‘Sedikit Cahaya’, kadang-kadang kita tak perlukan cahaya yang terlalu terang, cukup sedikit sahaja untuk memberi kekuatan meneruskan hidup sebagai lambang harapan,” katanya.

Bagi Mariam, Sedikit Cahaya bukan sekadar lagu untuk sebuah drama, malah menjadi refleksi kepada perjalanan seni dan kehidupan peribadinya. Selepas melalui pengalaman berharga di pentas Separuh Akhir AJL40 menerusi lagu Puaskah, beliau percaya setiap perjalanan mempunyai hikmah dan setiap penantian pasti akan menemukan waktunya.

“Semasa rakaman, saya bukan sekadar menyanyi sebagai Mariam atau watak dalam drama tetapi menyampaikan setiap lirik berdasarkan pengalaman dan harapan yang saya sendiri pernah rasakan. Sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan, pihak media dan peminat adalah antara penyumbang terbesar ‘Sedikit Cahaya’ dalam hidup saya,” tambahnya.

Kerjasama bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat turut membuka ruang buat Mariam memperlihatkan evolusi dalam penyampaian vokalnya. Kali ini, beliau lebih memberi penekanan kepada aspek penceritaan dan penghayatan emosi berbanding hanya mempamerkan kekuatan vokal semata-mata, sekali gus menjadikan lagu ini lebih dekat dengan pendengar yang pernah melalui kehilangan, perjuangan hidup atau mengejar impian.

Bagi melengkapkan keseluruhan pengalaman emosi lagu ini, muzik video Sedikit Cahaya diarahkan oleh Boboy Jehori dengan konsep visual yang minimalis tetapi penuh makna. Video muzik tersebut menggunakan tona gelap berwarna teal bagi menggambarkan kesunyian dan kegelapan sebelum beralih kepada pencahayaan kuning yang melambangkan harapan serta peluang kedua.

Menariknya, muzik video ini dirakam menggunakan teknik one continuous shot atau satu syot berterusan tanpa henti. Pendekatan tersebut memerlukan fokus, stamina dan komitmen tinggi daripada Mariam serta seluruh tenaga produksi kerana sebarang kesilapan akan menyebabkan keseluruhan babak perlu dirakam semula dari awal.

Menurut Boboy Jehori, pendekatan itu dipilih bagi memastikan penonton dapat merasai perjalanan emosi Mariam secara berterusan tanpa gangguan.

“Kami mahu penonton merasai seolah-olah mereka sedang berjalan bersama Mariam sepanjang perjalanan mencari ‘Sedikit Cahaya’. Harapan saya sangat sederhana, saya mahu penonton bukan sekadar melihat visual yang cantik, tetapi turut merasai kekuatan untuk bangkit daripada kegelapan,” jelasnya.

Sedikit Cahaya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, manakala muzik videonya turut boleh ditonton di YouTube.