Pink Asia dengan bangganya mempersembahkan “KITA – 25 Tahun Bersama”, sebuah konsert eksklusif yang meraikan pencapaian luar biasa penyanyi bertaraf antarabangsa Shila Amzah sepanjang 25 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik.
Bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting, konsert ini menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Shila serta hubungan istimewa bersama para peminat yang telah memberikan sokongan sejak awal kerjayanya.
Sebagai sebahagian daripada sambutan Visit Malaysia 2026, penganjuran konsert ini turut memperkukuhkan usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi hiburan serantau dengan menarik peminat dari pelbagai negara Asia.

Dijangka menerima kehadiran lebih 5,000 penonton, “KITA – 25 Tahun Bersama” bakal menampilkan sebuah produksi bertaraf tinggi menerusi gabungan muzik, teknologi visual dan elemen penceritaan kreatif.
Persembahan ini akan membawa penonton melalui perjalanan muzik Shila Amzah yang merangkumi pelbagai genre serta bahasa termasuk Melayu, Mandarin dan Inggeris.
Sebanyak 40 lagu bakal dipersembahkan sepanjang konsert termasuk karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah kerjayanya seperti “Masih Aku Cinta”, “Patah Seribu Hatiku”, “Forever Love” dan “Temberang”.

Konsert ini turut memperkenalkan beberapa segmen khas seperti Tribut Sudirman, Tribut Michael Jackson dan Fish Leong Medley yang disusun dengan pendekatan muzik moden.
Selain itu, barisan artis jemputan terdiri daripada DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly dan Hael Husaini akan turut memberikan persembahan istimewa bagi melengkapkan pengalaman konsert.
Menurut Pengarah Syarikat Pink Asia, Mr. Ravivarman Vicraman, konsert ini merupakan penghormatan kepada seorang artis yang telah menjadi inspirasi kepada ramai peminat muzik.
“Matlamat kami adalah menghasilkan sebuah persembahan premium yang bukan sahaja meraikan 25 tahun kerjaya Shila Amzah, tetapi turut memperlihatkan kekuatan bakat tempatan di pentas antarabangsa,” katanya.
Pemilihan Arena of Stars, Resorts World Genting sebagai lokasi turut dibuat berdasarkan reputasi venue tersebut sebagai salah satu lokasi hiburan bertaraf dunia yang mampu menyokong produksi berskala besar.
Konsert “KITA – 25 Tahun Bersama” dianjurkan oleh Pink Asia bersama The Coffee Bean & Tea Leaf sebagai Rakan Rasmi, Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 sebagai Rakan Strategik serta Ticket2U sebagai Platform Tiket Rasmi.












