Radja Raikan 25 Tahun Perjalanan Muzik Dengan Tarikh Konsert Baharu

DHYAH PRODUCTION dan INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES memaklumkan bahawa Konsert Revolusi Radja 25 Tahun kini akan berlangsung pada 19 September 2026, berbanding tarikh asal 11 Julai 2026, di lokasi yang sama iaitu Stadium Hoki Bukit Jalil.

Perubahan tarikh ini dibuat selepas pihak penganjur menilai beberapa faktor semasa, termasuk jadual konsert yang padat serta beberapa acara besar lain yang berlangsung dalam tempoh sama. Keadaan itu dijangka memberi kesan kepada kelancaran perjalanan konsert dan keselesaan para penonton.

Menurut wakil penganjur, Mahbub Dermawan, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh dengan semua pihak yang terlibat.

“Kami mahu memastikan peminat menikmati pengalaman terbaik apabila hadir ke konsert ini. Dengan tarikh baharu, kami yakin lebih ramai peminat dapat merancang kehadiran mereka dengan lebih mudah dan menikmati persembahan Radja dalam suasana yang lebih selesa,” katanya.

Konsert ini bakal meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan muzik Radja menerusi persembahan lagu-lagu hit yang telah menemani peminat sejak sekian lama. Malah, beberapa artis jemputan turut akan memeriahkan malam istimewa itu.

Penganjur turut memberi jaminan bahawa semua tiket yang telah dibeli sebelum ini masih sah digunakan tanpa perlu membuat sebarang pertukaran.

Orang ramai diminta menyimpan tiket masing-masing dan hadir pada tarikh baharu bagi sama-sama meraikan perjalanan muzik Radja yang telah mewarnai industri muzik Nusantara selama 25 tahun.

Tiket dijual pada harga RM75 hingga RM1,200 mengikut kategori. Maklumat lengkap mengenai tiket boleh didapati menerusi laman rasmi myticket.asia.