PEMENANG BERTUAH KEMPEN TONTON NON STOP, ON TOP! RAIH EV BERNILAI LEBIH RM67,000

Tuah menyebelahi seorang suri rumah dari Kuching, Sarawak apabila berjaya membawa pulang sebuah TQ Wuling Bingo Pro EV bernilai RM67,332 selepas diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Pusingan 1 kempen Tonton Non Stop, On Top!. Pemenang, Zizie Aina Anak Rigus, berjaya mengatasi ribuan peserta lain menerusi kutipan mata tertinggi hasil tontonan kandungan terpilih di platform Tonton. Kemenangan tersebut menjadi pembuka tirai kepada siri hadiah utama yang ditawarkan sepanjang kempen berlangsung.

Zizie yang diwakili rakannya pada majlis penyampaian hadiah di Kuala Lumpur berkata beliau mengetahui mengenai kempen berkenaan menerusi media sosial. Sepanjang tempoh pertandingan, beliau konsisten menonton kandungan di Tonton bagi mengumpulkan mata. Usahanya membuahkan hasil apabila berjaya mengumpul 64,561 mata sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah utama.

Menurut Zizie, kemenangan itu merupakan rezeki yang amat bermakna buat dirinya sekeluarga. Beliau merancang menggunakan kenderaan elektrik tersebut sebagai pengangkutan harian termasuk menghantar anak ke sekolah. Hadiah itu juga menjadi dorongan untuk terus menyokong kandungan tempatan yang disediakan di platform Tonton.

Sementara itu, Pengurus Besar Pembangunan Produk dan Perniagaan Tonton, Fikri Rizal Mahruddin berkata penyampaian hadiah utama pertama itu menjadi satu detik bersejarah buat Tonton. Beliau memaklumkan kempen tersebut merupakan program ganjaran terbesar pernah dianjurkan oleh platform itu dengan jumlah hadiah keseluruhan melebihi RM700,000. Sambutan yang diterima juga amat memberangsangkan dengan penyertaan lebih 11,000 peserta setakat ini.

Kempen Tonton Non Stop, On Top! masih diteruskan sehingga 9 Ogos 2026 dengan tiga lagi hadiah utama berupa kereta menanti peserta bertuah. Orang ramai masih berpeluang meningkatkan kutipan mata menerusi tontonan kandungan terpilih dan merebut peluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan.