SENTUHAN KASIH “SUPER MUMMY” WANY HASRITA: SELAMI REALITI INDAH KEIBUAN MENERUSI OH MUMMY!+ BERMULA 5 JULAI INI

Program realiti kekeluargaan yang pernah mencuri perhatian penonton sepanjang Ramadan, Oh Mummy, kini kembali dengan format baharu menerusi spin-off berjudul Oh Mummy!+ yang bakal bersiaran mulai 5 Julai 2026, setiap Ahad jam 7.50 malam di TV3. Siri mini ini tampil dengan pendekatan lebih intim dan emosional, memberikan penonton peluang untuk menyelami kehidupan sebenar penyanyi popular Wany Hasrita dalam mengharungi cabaran sebagai seorang ibu muda.

Menerusi lapan episod berdurasi 10 minit, Oh Mummy!+ memaparkan realiti kehidupan Wany sebagai seorang “Super Mummy” yang membesarkan anak perempuannya, Aishah Al Iman, dalam situasi perkahwinan jarak jauh apabila suaminya bertugas di Sarawak. Kisah ini membawa penonton melihat sisi lebih peribadi seorang figura seni yang berdepan keseimbangan antara tuntutan kerjaya, tanggungjawab sebagai ibu, serta cabaran emosi dalam membesarkan anak di usia yang masih kecil.

Selain memaparkan rutin harian seorang ibu bekerja, program ini turut mengetengahkan momen-momen jujur yang sarat emosi, daripada detik keletihan, kegembiraan kecil, sehinggalah saat-saat penuh kasih sayang yang membentuk ikatan erat antara ibu dan anak. Pendekatan naratif yang lebih bersahaja ini menjadikan Oh Mummy!+ dekat dengan realiti ramai ibu bapa masa kini yang turut melalui fasa kehidupan serupa.

Sebagai salah seorang penyanyi tersohor tanah air, Wany Hasrita bukanlah nama asing dalam industri hiburan Malaysia. Dengan pelbagai pencapaian termasuk gelaran Bintang Paling Popular ABPBH 31 serta kejayaan di pentas Anugerah Juara Lagu, beliau kini membawa penonton menelusuri fasa baharu kehidupannya yang lebih peribadi dan bermakna sebagai seorang ibu.

Oh Mummy!+ bukan sekadar sebuah program realiti, tetapi juga sebuah refleksi tentang pengorbanan, kasih sayang dan ketabahan seorang ibu moden dalam mengimbangi kehidupan keluarga dan kerjaya. Melalui penceritaan yang jujur dan dekat di hati, program ini diharap dapat memberi inspirasi kepada penonton untuk lebih menghargai peranan ibu dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Penonton boleh menyaksikan Oh Mummy!+ bermula 5 Julai ini, setiap Ahad jam 7.50 malam di TV3, serta turut distrim melalui platform Tonton, membawa pengalaman tontonan yang lebih dekat, hangat dan menyentuh hati bersama Wany Hasrita dan si kecil Aishah Al Iman.