Pecah Rekod! Raih RM15 Juta Dalam Tempoh Singkat

Bermula dengan rasa ingin tahu penonton terhadap sebuah filem seram tempatan, Polong kini muncul sebagai antara naskhah paling berjaya dan diperkatakan tahun ini apabila berjaya mencatat kutipan RM15 juta selepas beberapa minggu ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Apa yang bermula sebagai pengalaman tontonan biasa akhirnya berkembang menjadi satu fenomena tersendiri. Ulasan positif daripada penonton, reaksi yang tular di media sosial serta sokongan dari mulut ke mulut terus mendorong kehadiran penonton baharu ke pawagam, sekali gus menjadikan Polong antara filem tempatan yang paling hangat dibincangkan sepanjang tempoh tayangannya.

Menariknya, sambutan luar biasa yang diterima filem ini bukan sahaja datang daripada peminat tegar genre seram, malah turut menarik perhatian penonton umum yang mahu menyaksikan sendiri naskhah yang menjadi bualan ramai. Sejak hari pertama tayangan, graf kutipan filem ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari minggu ke minggu, membuktikan bahawa karya tempatan yang berkualiti masih mampu mendapat tempat istimewa dalam hati masyarakat.

Pengarah Polong, Zulkarnain Azhar, meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang dicapai dan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada penonton Malaysia. Menurut beliau, setiap tiket yang dibeli, ulasan yang dikongsikan serta cadangan kepada keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan besar dalam membantu filem itu mencapai kejayaan luar biasa.

“Alhamdulillah, saya benar-benar terharu dengan sokongan yang diberikan oleh penonton Malaysia. Sebagai pembikin filem, tiada yang lebih membahagiakan selain melihat karya yang dihasilkan diterima dengan baik dan berjaya menyentuh emosi penonton. Kejayaan RM15 juta ini bukan milik saya seorang, tetapi milik seluruh pasukan produksi, para pelakon dan yang paling penting, milik semua penonton yang memilih untuk menyokong Polong,” katanya.

Kejayaan tersebut turut memperlihatkan keyakinan penonton terhadap karya tempatan yang berkualiti serta membuktikan bahawa genre seram masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam industri perfileman negara apabila dipersembahkan dengan jalan cerita yang mantap dan pengalaman sinematik yang berkesan.

Lebih daripada sekadar angka, kutipan RM15 juta menjadi simbol penghargaan penonton terhadap usaha, komitmen dan dedikasi seluruh tenaga kerja di sebalik pembikinan Polong. Pencapaian ini juga menjadi bukti bahawa filem tempatan mampu mencipta impak besar dan bersaing dengan karya antarabangsa apabila mendapat sokongan berterusan daripada masyarakat.

Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, Polong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa, Amir Nafis dan ramai lagi. Dengan pencapaian membanggakan ini, Polong terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem seram tempatan paling berjaya dan berpengaruh tahun ini.

Terima kasih kerana menyahut bisikan yang terus bergema sehingga kini. Polong masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Saksiklan sendiri sebuah naskhah ngeri yang  meremajakan bulu roma anda.