Menjelang pembukaan 118 Mall yang amat dinanti-nantikan tahun ini, destinasi gaya hidup baharu di presint ikonik Merdeka 118 terus mencuri perhatian apabila menerima kunjungan khas delegasi Decathlon dari rantau Asia Pasifik (APAC). Lawatan ini bertujuan meninjau pembangunan sekitar serta melihat lebih dekat cawangan utama Decathlon yang bakal beroperasi di pusat beli-belah tersebut.
Delegasi berkenaan merangkumi wakil dari pelbagai pasaran termasuk Thailand, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam. Kehadiran mereka mencerminkan kepentingan projek ini sebagai antara pembukaan strategik dalam rangkaian serantau jenama sukan global tersebut.
Decathlon bakal membuka ruang seluas 22,000 kaki persegi di Aras 2 118 Mall dengan konsep premium yang pertama seumpamanya di Malaysia. Cawangan ini juga akan menjadi gedung legasi Decathlon Malaysia, yang menggabungkan elemen sukan, komuniti dan gaya hidup dalam satu pengalaman runcit yang lebih moden dan eksklusif.
Reka bentuk dalaman cawangan ini turut menampilkan identiti Malaysia yang unik dengan inspirasi motif songket, selain fasad yang direka semula bagi memberikan sentuhan premium dan kontemporari. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai perkhidmatan khas seperti cetakan, ukiran khas serta pemasangan tali raket untuk sukan seperti badminton dan tenis.
Lebih daripada sekadar kedai barangan sukan, konsep baharu ini dibangunkan untuk menggalakkan gaya hidup aktif serta memperkukuh hubungan komuniti melalui pengalaman interaktif yang lebih inklusif. Ia juga menggabungkan pendekatan omnichannel Decathlon, membolehkan pelanggan mengakses rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas.
Menurut Adlyna Azmi, Pengarah Keahlian dan Peneraju Projek Cawangan 118 Mall Decathlon Malaysia, pembukaan ini menandakan evolusi penting jenama tersebut di negara ini. Ia bukan sahaja mencerminkan inovasi dan identiti tempatan, tetapi juga menjadi cawangan ke-37 Decathlon di Malaysia, sekali gus memperkukuh komitmen mereka dalam menjadikan sukan lebih mudah diakses oleh semua.
Sementara itu, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad selaku pemaju turut menyambut baik kehadiran Decathlon sebagai antara penyewa utama di 118 Mall. Menurut mereka, gabungan jenama runcit, gaya hidup, budaya dan komuniti akan menjadikan destinasi ini lebih berbeza berbanding pusat beli-belah lain di Kuala Lumpur.
Dengan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang giat dijalankan oleh para penyewa, 118 Mall kini semakin hampir untuk dibuka kepada umum. Merdeka 118 dijangka menjadi pusat tumpuan baharu yang menggabungkan pengalaman beli-belah, gaya hidup dan budaya dalam satu destinasi ikonik di tengah ibu kota.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.118mall-kl.com.












