Eckem Holdings Berhad (Eckem Holdings), penyedia penyelesaian kimia perindustrian khusus tempatan, menerima suntikan momentum yang signifikan menjelang langkah penyenaraian korporatnya selepas berjaya merangkul Anugerah Pengedaran 2025 (Peringkat Platinum) daripada gergasi kimia global berpangkalan di Jerman, Wacker Chemie AG (Wacker Chemie).
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan sebagai menghargai prestasi cemerlang Kumpulan dalam sektor pengedaran sepanjang tahun 2025. Kejayaan ini sekali gus membuktikan peranan strategik Eckem Holdings sebagai pengedar sah Wacker Chemie di Malaysia sejak tahun 2023 dalam menghubungkan prinsipal antarabangsa dengan pasaran perindustrian tempatan.
Pencapaian luar biasa ini hadir pada waktu yang sangat tepat buat Kumpulan yang kini sedang rancak melaksanakan proses Tawaran Awam Permulaan (IPO) menjelang penyenaraian rasminya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 3 Julai 2026. Langkah korporat ini menawarkan saham pada harga RM0.12 sesaham, dengan nilai permodalan pasaran dijangka mencecah RM75.00 juta selepas penyenaraian. Tempoh permohonan IPO yang telah dibuka sejak 25 Mei lalu dijadualkan ditutup pada 19 Jun 2026.
Berdasarkan prospektus syarikat, dana yang bakal dijana daripada IPO ini akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai peluru utama untuk membiayai beberapa inisiatif pertumbuhan strategik. Ini termasuklah pembinaan pejabat korporat baharu, gudang, dan makmal, serta pengembangan barisan pengeluaran baharu bagi segmen pembuatan dan perdagangan produk getah Kumpulan. Di samping itu, hasil kutipan juga akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, keperluan modal kerja, dan kos perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Pengarah Eksekutif Eckem Holdings Berhad, Encik Tan Khai Jeik (Jack Tan) menyatakan bahawa anugerah bertaraf Platinum ini merupakan bukti komitmen pasukan mereka terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan, sokongan teknikal yang jitu, dan hubungan pelanggan jangka panjang. Beliau menegaskan bahawa seiring dengan kemajuan Eckem Holdings ke arah penyenaraian di Pasaran ACE, pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam industri kimia perindustrian khusus, serta membuktikan komitmen berterusan mereka untuk menyokong ekosistem perindustrian dan pembuatan Malaysia.
Sebagai sebuah kumpulan bahan kimia khusus global, Wacker Chemie mempunyai reputasi kukuh dengan portfolio luas yang merangkumi silikon, polimer, biosolusi, dan polisilikon di lebih 100 buah negara. Kejayaan Eckem Holdings meraih anugerah tertinggi daripada rakan kongsi global ini dijangka bakal memberikan sentimen yang sangat positif dalam menarik keyakinan para pelabur menjelang tarikh penutupan permohonan IPO mereka tidak lama lagi.











