Apa sudah jadi pada Yonnyboii?

Peminat dan warganet semua tertanya apa yang sudah berlaku kepada penyanyi rapper iaitu Yonnyboii yang menghilang secara tiba-tiba di laman sosial. Sebelum ini Yonny seorang yang sangat aktif memuat naik gambar dan video aktiviti seni.

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba saja semua gambar pada akaun Instagram milik penyanyi, rapper dan komposer Yonnyboii hilang.

Malah, peminat juga tidak dapat lagi melihat momen Yonny bersama isteri, Nik Nazira Narriman seperti yang dikongsikan sebelum ini.

Sehingga kini, Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin juga masih senyap membisu tanpa sebarang kenyataan bagi menjelaskan perkara itu.

Wakil Universal Music Malaysia Anne Mukhtar, ketika dihubungi memaklumkan Yonny mahu diberikan ruang seketika sebelum kembali memulakan kerja seninya.

“Insya-Allah, Yonny okay. Doakan dia baik-baik saja. Buat masa sekarang kita beri dia masa dan ruang untuk bertenang. Sampai masa nanti, dia akan muncul dan kembali semula,” katanya.

Sebelum ini, Yonny berkongsi khabar gembira apabila isterinya selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada bersamaan hari Awal Muharram. Bayi lelaki seberat tiga kilogram itu lahir secara normal di sebuah hospital di Petaling Jaya pada pukul 4 pagi.

Kali terakhir Yonny muncul dengan single baharu berjudul Flash & Dash, kolaborasi bersama Guccimith, telah mencapai 200,000 tontonan di YouTube.  Lagu itu adalah hasil ciptaan bersama SonaOne dan Wolfy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *